Farhash bakal buat laporan polis, saman fitnah Wan Ahmad Fayhsal

Farhash Wafa Salvador
Farhash Wafa Salvador
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Farhash Wafa Salvador akan membuat laporan polis dan memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak itu berkata, tindakan itu diambil susulan tuduhan Wan Ahmad Fayhsal kononnya beliau antara dua individu yang bertanggungjawab menarik sokongan beberapa wakil rakyat pembangkang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui sogokan.

“Saya dengan sekeras-kerasnya mengecam dan menafikan tuduhan-tuduhan fitnah yang tidak benar dan tidak berasas yang dilontarkan terhadap saya.

“Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang dakwaan tidak benar dan tidak berasas oleh Wan Ahmad Fayhsal tersebut.

“Disebabkan oleh fitnah tersebut, saya merasa terpanggil untuk menyatakan bahawa tuduhan itu telah dibuat dengan niat jahat dan tanpa sebarang bukti langsung,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa terdapat dua individu yang bertanggungjawab menarik sokongan wakil rakyat pembangkang kepada, Anwar.

Menurutnya, individu terbabit adalah ‘Datuk Botak’ dan Farhash.

Menurut Farhash, kenyataan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu seolah-olah menyatakan bahawa beliau telah dijadikan sebagai alatan politik untuk menyebarkan khabar angin yang tidak benar untuk kepentingan sendiri.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, beliau tidak memahami tindakan Wan Ahmad Fayhsal yang melontarkan fitnah dengan niat untuk menjatuhkan reputasi dan kehormatan demi kepentingan politik.

“Disebabkan oleh kenyataan dan tuduhan fitnah berkenaan, saya akan membuat laporan polis agar siasatan dan tindakan lanjut diambil oleh pihak polis terhadapnya.

“Saya juga merizabkan hak saya untuk memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wan Ahmad Fayhsal,” katanya.