Pantau peniaga ambil kesempatan kenaikan SST

AYAT FB:
Kerajaan perlu serius pastikan hanya kumpulan kecil sahaja yang terkesan dengan peningkatan SST ini dan bukannya rakyat secara keseluruhan.
AYAT FB: Kerajaan perlu serius pastikan hanya kumpulan kecil sahaja yang terkesan dengan peningkatan SST ini dan bukannya rakyat secara keseluruhan.
A
A
A

JUMAAT lalu, secara rasmi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini.

Seperti dijelaskan kerajaan, ia sebahagian usaha untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara, dalam masa sama mengurangkan defisit belanjawan serta membantu kerajaan terus menjana pendapatan.

Sehingga kini, beberapa pihak sudah mula memperkenalkan caj tambahan seperti Shopee, Lazada Malaysia dan TikTok Shop.

Bagaimanapun, terdapat gesaan supaya kerajaan mengekalkan kadar SST enam peratus bagi perkhidmatan elektrik bagi semua pengguna termasuk sektor komersial.

Kenaikan kadar SST terhadap bil elektrik komersial dijangka meningkatkan kos kedai, kilang dan gudang dan akhirnya kos tersebut diserapkan kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

Namun, perlu diingatkan bahawa kadar baharu SST ini tidak merangkumi perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.

Oleh demikian, tidak wajar sekiranya ada peniaga makanan mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah dalam kalangan peniaga.

Artikel Berkaitan:

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini juga berkata, pihaknya akan terus memantau menerusi Ops Kesan yang digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011 sejak Jumaat lalu.

Ops Kesan ini bertujuan memantau kesan pelaksanaan peningkatan kadar SST bagi memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan.

Adalah diharapkan juga, kementerian melipat gandakan pemantauan bagi peniaga di bazar Ramadan supaya tiada yang menjadikan alasan kenaikan SST untuk menaikkan harga jualan. Jangan beri muka kepada peniaga melampau.

Hanya dengan pemantauan tegas sahaja dapat mengekang kenaikan harga makanan dan minuman yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat terutama di kawasan bandar.

Kerajaan perlu serius untuk memastikan hanya kumpulan-kumpulan kecil sahaja yang terkesan dengan peningkatan SST ini dan bukannya rakyat secara keseluruhan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28