Harga air mineral melampau, KPDN buka kertas siasatan

Fuziah (dua dari kanan) bersama Amizar (dua dari kiri) serta Jezlily (kiri) ketika menyantuni pengunjung sempena Karnival Jualan Rahmah Madani Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dataran Anjung, Pusat Bandar Jengka, Maran pada Ahad.
Fuziah (dua dari kanan) bersama Amizar (dua dari kiri) serta Jezlily (kiri) ketika menyantuni pengunjung sempena Karnival Jualan Rahmah Madani Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dataran Anjung, Pusat Bandar Jengka, Maran pada Ahad.
A
A
A

MARAN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka kertas siasatan berhubung aduan kenaikan harga melampau air mineral di sebuah pasar raya di Selangor.

Timbalan menterinya, Fuziah Salleh berkata, salah satu daripada dua aduan diterima pada Jumaat melibatkan air mineral 9.5 liter berharga RM23.90 berbanding RM11.90 menerusi Op Kesan yang telah dilakukan bagi memantau kesan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang naik kepada lapan peratus.

"Ia satu kenaikan yang luar biasa, bukan biasa-biasa dan kertas siasatan telah dibuka.

"Pengguna harus tahu kategori apa yang dikenakan SST dan untuk Ops Kesan kita pantau iaitu sektor perhotelan, kesihatan dan kesejahteraan, pusat penyediaan latihan dan tunjuk ajar serta perkhidmatan dobi yang nilai ambangnya melebihi RM500,000 manakala makanan dan minuman tidak terlibat dengan kenaikan SST.

"Kepada peniaga perlu bertanggungjawab dan tidak menggunakan SST sebagai alasan, ambil kesempatan menaikkan harga," katanya.

Orang ramai yang tidak melepaskan peluang membeli barangan sempena Karnival Jualan Rahmah Madani Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dataran Anjung, Pusat Bandar Jengka, Maran pada Ahad.
Orang ramai yang tidak melepaskan peluang membeli barangan sempena Karnival Jualan Rahmah Madani Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dataran Anjung, Pusat Bandar Jengka, Maran pada Ahad.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Karnival Jualan Rahmah Madani Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dataran Anjung, Pusat Bandar Jengka di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Fuziah berkata, sehingga Sabtu sebanyak 26 notis telah dikeluarkan membabitkan lebih 1,000 pemeriksaan di seluruh negara sejak Jumaat.

Ujar Fuziah lagi, orang ramai diminta membuat aduan jika terdapat kesalahan mencatut supaya tindakan segera dapat diambil.

Orang awam boleh mengemukakan aduan melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 019-848 8000/ 019-279 4317, portal e-Aduan KPDN melalui pautan http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 atau menggunakan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Bermula 1 Mac 2024, kadar baharu SST dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini, sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28