Beri penjelasan kenaikan SST 8 peratus - Cake

Laporan Sinar Harian (kiri), Mohamad Yusrizal
Laporan Sinar Harian (kiri), Mohamad Yusrizal
A
A
A

ALOR SETAR - Kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari 6 peratus kepada 8 peratus bermula 1 Mac perlu dijelaskan secara terperinci.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, rata-rata pengguna tidak bersetuju dengan kenaikan SST kerana dikhuatiri akan meningkatkan harga barang dan perkhidmatan.

Beliau berpandangan, disebabkan itu, penjelasan penting bagi membolehkan rakyat memahami kadar baharu yang ditetapkan.

"SST adalah cukai tidak langsung yang tidak berstruktur.

"Namun, kenaikan SST ini dilihat tidak 'proper' kerana hanya tiga sektor sahaja dikecualikan kenaikan iaitu perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah beliau, ada beberapa pihak seperti Telekom Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa beberapa perkhidmatan akan dikenakan kadar baharu, sekali gus menyebabkan ada dalam kalangan pengguna tidak berpuas hati.

Beliau berpandangan, ada perkara tidak dimaklumkan secara jelas sehingga menimbulkan kekeliruan kepada pengguna tentang kenaikan dan pengecualian kadar SST lapan peratus.

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan memberi penjelasan dengan lengkap dan teliti ketika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kita minta penjelasan yang lebih jelas tentang kenaikan itu supaya tiada yang terkeliru berkaitan yang mana tidak dikenakan (pengecualian kenaikan) SST dan yang mana dikenakan SST," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya mencadangkan supaya pengecualian kenaikan SST kepada 8 peratus ditambah baik kepada industri yang ada dalam rantaian pembekalan barangan keperluan.

Beliau berkata, pihaknya turut berharap perlindungan kepada pengguna diutamakan oleh kerajaan dengan memantau industri yang mengambil kesempatan ke atas cukai bertindih.

"Kita takut cukai ini bertindih tidak seperti mana GST dan pengguna akan menanggung bebanan cukai ini sekiranya ia bertindih serta boleh mencecah 20 peratus," katanya.