Kenaikan SST: Tindakan tegas jika harga makanan, minuman tak munasabah

Armizan - Foto: Bernama
Armizan - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapati berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah melibatkan jualan makanan dan minuman.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemantauan dibuat menerusi Ops Kesan yang digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011 sejak Jumaat bertujuan memantau kesan pelaksanaan peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6 peratus kepada 8 peratus.

Menurutnya, fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan untuk mencatut atau membuat kenaikan harga yang bertentangan dengan perundangan pencatutan.

"Skop penguatkuasaan adalah meliputi sektor-sektor yang terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan dan keseluruhan rantaian perkhidmatan yang berkaitan.

"Ini termasuk pemantauan kepada sektor yang tidak terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan seperti makanan dan minuman.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan naik kepada 8 peratus, berbanding 6 peratus sebelum ini berkuatkuasa pada 1 Mac 2024.

Bagaimanapun kadar baharu ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Armizan berkata, KPDN mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat dan buktiberkaitan sebarang tindakan kenaikan harga tidak wajar yang dikenal pasti.

"KPDN akan membuat siasatan serta-merta di premis-premis terlibat," katanya.

Aduan awam boleh dibuat kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000 / 019-279 4317; portal e-Aduan KPDN (http://eaduan.kpdn.gov.my); 1-800-886-800; dan aplikasi Ez ADU KPDN.