RoS digesa luluskan segera pindaan perlembagaan Bersatu

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk segera meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkannya dikuatkuasakan serta-merta.

Beliau turut berharap supaya tiada sebarang campur tangan politik yang boleh mempengaruhi proses berkenaan menjadi perlahan.

"Selepas itu apabila Bersatu sudah ambil langkah seterusnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat mestilah memainkan peranan dengan adil dan amanah untuk mengisytiharkan enam kerusi itu kosong.

"Tidak ada sebab kenapa enam kerusi pengkhianat itu tidak dikosongkan.

"Janganlah pula ada sesiapa yang mencipta alasan untuk melindungi mereka," katanya menerusi laman Facebook pada Sabtu.

Dalam laporan media pada Sabtu, pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu akan membolehkan enam ahli Parlimen mereka yang bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengosongkan kerusi masing-masing.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perlembagaan Bersatu ketika ini hanya membolehkan kepimpinan parti menggantung enam ahli Parlimen tersebut, tanpa memberi kesan kepada kerusi Parlimen mereka.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, pindaan itu penting kerana terdapat kelompongan yang telah dieksploitasi oleh enam orang ahli Dewan Rakyat daripada Bersatu.

"Mereka menukar sokongan tapi kekal sebagai ahli Bersatu.

"Dengan pindaan ini, kelompongan itu telah ditutup.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah pindaan perlembagaan diluluskan sebulat suara oleh Perhimpunan Agung Khas.

"Suasana perhimpunan melambangkan betapa Bersatu tidak mahu lagi pengkhianat-pengkhianat ini kekal dalam parti malah ahli-ahli juga kecewa dan marah kepada mereka," jelasnya

Wan Saiful turut menyifatkan keenam-enam ahli Parlimen terbabit sebagai tidak tahu malu.

"Parti ini sudah tak mahu kepada kamu.

"Apa yang kamu tunggu lagi?

"Kalau ada maruah, sila keluar sendiri sekarang," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28