Ibu bapa 'serbu' pasar raya, premis alat tulis beli kelengkapan sekolah

Shuhana bersama anak-anaknya membeli keperluan persekolahan ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Shuhana bersama anak-anaknya membeli keperluan persekolahan ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - Tinggal kira-kira seminggu menjelang sesi persekolahan 2024, pasar raya dan premis peralatan alat tulis di sini pada Sabtu, menjadi tumpuan ibu bapa membeli keperluan untuk anak-anak mereka.

Kebanyakan ibu bapa yang ditemui memberitahu, masih ada beberapa peralatan yang perlu dibeli bagi sesi persekolahan tersebut.

Bagi seorang penjawat awam, Farhatun Najmi Mohd Ghazi, 43, dia membeli barangan keperluan untuk anak perempuannya yang akan memasuki Tingkatan Satu.

"Memandangkan baru sahaja mendapat keputusan tawaran sekolah anak, jadinya hujung minggu ini dapat membeli kerana keperluan untuknya berbeza mengikut sekolah.

"Tiga anak lain pula masing-masing pakai yang masih elok untuk elakkan pembaziran kerana tahun ini bertembung pula dengan puasa dan raya," katanya.

Dari kiri; Shuhana, Mai Sara dan Farhatun Najmi.
Dari kiri; Shuhana, Mai Sara dan Farhatun Najmi.

Memperuntukkan lebih RM1,000 untuk keperluan persekolahan anak, Farhatun berkata, kebanyakan kelengkapan sekolah anak sudah dibeli awal.

Seorang lagi penjawat awam, Shuhana Mohamed, 43, berkata, minggu ini dia memperuntukkan masa untuk membeli keperluan anaknya yang akan memasuki Tahun Satu.

Artikel Berkaitan:

"Untuk yang lain, semua sudah lengkap dan lega sikit walaupun ada rasa terbeban," katanya.

Seorang suri rumah, Mai Sara Mohamad, 38, mengakui membuat persediaan di saat akhir untuk dua anaknya berusia 8 dan 12 tahun.

Peralatan alat tulis antara keperluan yang menjadi tumpuan ibu bapa.
Peralatan alat tulis antara keperluan yang menjadi tumpuan ibu bapa.

"Nampak ramai juga ibu bapa yang sedang sibuk membeli dan saya memperuntukkan kira-kira RM500 untuk barangan keperluan anak-anak kali ini," tambahnya.

Sementara itu, seorang pekerja pasar raya yang enggan dikenali memberitahu, beberapa hari ini pasar raya itu menjadi tumpuan ibu bapa membeli keperluan persekolahan anak-anak.

"Hari ini dari pagi tadi memang sudah ramai ibu bapa yang datang untuk membeli-belah," katanya.