Cuaca panas: Sesi persekolahan berlangsung seperti biasa

Fadhlina. Foto Bernama
Fadhlina. Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sesi persekolahan yang dijadualkan bermula pada minggu depan iaitu pada 10 dan 11 Mac ini akan beroperasi seperti biasa walaupun beberapa negeri berdepan cuaca panas hingga tahap berjaga-jaga.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, hanya sesi petang persekolahan mengalami perubahan masa pada bulan Ramadan, iaitu ditamatkan lebih awal pada 5.30 petang untuk Semenanjung sementara 5 petang bagi negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Anjakan masa itu dibuat bagi memberi ruang kepada murid dan guru pulang berbuka puasa dengan selesa.

"Sekolah sesi pagi pula akan beroperasi seperti biasa,” katanya selepas merasmikan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Poi Chee di sini, pada Ahad.

Fadhlina turut menasihatkan ibu bapa dan guru agar memastikan murid diberikan panduan berdepan cuaca panas ketika sesi pembelajaran.

“Penting untuk kita ingatkan semasa pembukaan sekolah nanti, pastikan anak minum air secukupnya pada waktu sahur dan berbuka.

"Kantin pula tidak boleh ditutup untuk murid yang tidak berpuasa dan bukan Islam.

"Kantin akan beroperasi seperti biasa, jadi kita harapkan semangat pembukaan sekolah dan sambutan Ramadan lancar dan kita dapat buat persiapan sewajarnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan, kementerian akan sentiasa merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari masa ke masa dalam menentukan pakaian dan aktiviti bersesuaian sepanjang musim cuaca panas.

“Buat masa ini kita kekal dengan garis panduan sedia ada.

"Semua telah ambil maklum keadaan cuaca ketika ini dan pembukaan sekolah serta Ramadan akan datang.

“Kita akan patuhi dan susun sebaiknya selain uar-uarkan makluman dan peringatan yang telah ada sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pihaknya percaya Jabatan Pendidikan setiap negeri telah mengadakan libat urus masing-masing bersama pengetua dan guru besar berhubung perkara tersebut.

Fadhlina (tengah) bersama sebahagian murid yang menerima sumbangan beg sekolah sempena perasmian SJKC Poi Chee pada Ahad.
Fadhlina (tengah) bersama sebahagian murid yang menerima sumbangan beg sekolah sempena perasmian SJKC Poi Chee pada Ahad.

“Semua sekolah boleh rujuk kepada pekeliling khusus mengenai cuaca termasuk konteks aktiviti dan juga keperluan pakaian mengikut cuaca.

“Rujukan utama kita adalah MetMalaysia, jadi kita akan patuhi arahan mereka dari masa ke masa," katanya.

MetMalaysia dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan, kawasan Pokok Sena, Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba, merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga pula merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Suhu panas tahap berjaga-jaga turut direkod di 21 kawasan seluruh Perlis, Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang serta Baling di Kedah; Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut di Pulau Pinang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28