X

Kindly register in order to view this article
!

Video intim: Saya tidak tahu apa-apa, kata KPN

Abdul Hamid Bador
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan beliau tidak dimaklumkan berhubung keputusan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung klip video intim melibatkan seorang menteri Kabinet.

Memetik laporan Astro Awani, Abdul Hamid memaklumkan beliau sedang menunggu perkembangan terkini daripada Pejabat Peguam Negara berhubung keputusan itu.

"Saya tidak tahu, keputusan muktamad dibuat oleh pihak Peguam Negara, bila sudah rasmi saya akan umumkan," katanya.

Tommy dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tiada pendakwaan akan dibuat pada mana-mana individu berhubung klip video yang tular tahun lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada pertuduhan boleh dibuat.

Dalam kenyataan itu, Tommy mengesahkan keputusan siasatan mendapati bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisa pengecaman wajah yang dibuat dalam dan luar negara.

"Dapatan Cyber-Security antara lain 'kegagalan untuk mengenal pasti individu-individu di dalam video tular tersebut disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video dan rangka video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas.

"Namun, Tommy turut mengesahkan siasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baharu diperoleh," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pada 6 Januari lalu menjelaskan kertas siasatan serta laporan akhir itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada akhir tahun lalu.