Kestabilan penting untuk negara yang ingin majukan ekonomi - Johari

Johari Foto Bernama
Johari Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kestabilan adalah elemen penting untuk sesebuah negara yang berhasrat memajukan ekonominya, dan di Malaysia, antara elemen kestabilan itu adalah perpaduan yang membolehkan rakyat untuk hidup dan bekerja dengan aman, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurutnya selain itu kestabilan politik amat diperlukan, dengan konsep pelbagai parti politik di negara ini yang mempunyai agenda dan ideologi masing masing, tidak membantutkan perkembangan ekonomi negara.

"Perpaduan tidak boleh dilihat dalam konteks silo. Jika masyarakat pelbagai kaum hanya memikirkan mengenai masyarakat masing-masing, kita akan mendapat berbagai perbezaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi diskusi Madani bertajuk ‘Aspirasi Perpaduan Memperkukuhkan Agenda Bumiputera’ di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berlangsung tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini pada Khamis.

Mengenai segolongan bumiputera yang menceburi bidang perniagaan kerana tidak mendapat peluang pekerjaan yang baik kerana tiada kelayakan pendidikan, beliau berkata golongan ini tidak bersedia untuk menjadi usahawan.

"Mereka ini tidak bersedia. Namun ada di antara mereka telah diberikan banyak kontrak kerajaan, maka muncul konsep ‘Ali Baba,’ iaitu kontrak yang diberikan kepada mereka, diberi pula kepada bukan bumiputera untuk mendapat keuntungan yang cepat.

"Oleh itu, akses kepada kualiti pendidikan merupakan langkah pertama agar mereka tidak tertinggal,” katanya.

Menurutnya usaha kerajaan semata-mata untuk membantu golongan bumiputera tidak akan memberi impak besar kepada ekonomi kumpulan ini, sebaliknya mereka perlu meningkatkan ilmu keusahawanan untuk memajukan diri.

Artikel Berkaitan:

Bagi menangani isu usahawan ‘Ali Baba,’ Johari mencadangkan kewujudan pangkalan data yang dikawal selia oleh kerajaan.

"Tanpa pangkalan data ini, kita akan terus melakukan kesalahan, memberi peluang kepada orang yang salah, yang bukan usahawan sebenar. Kalau bank ada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), sektor swasta menggunakan Credit Tip-Off Service (CTOS) untuk melakukan verifikasi, kerajaan juga perlu mewujudkannya untuk tujuan yang sama,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28