Budaya Ali Baba punca bumiputera ketinggalan

Johari
Johari
A
A
A

PUTRAJAYA - Bumiputera ketinggalan dalam bidang keusahawanan disebabkan budaya 'Ali Baba'.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan telah mengagihkan kontrak atau projek yang dianggarkan bernilai RM1.7 trilion kepada usahawan bumiputera dalam tempoh 25 tahun.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Menteri Kewangan II berkata, konsep Ali Baba itu telah menyebabkan usahawan bumiputera mengalami kerugian berbanding ‘ejen’ bumiputera.

“Dia (bumiputera) masuk nak berniaga dalam kerajaan tetapi tidak bersedia, jadi inilah datangnya konsep Ali Baba iaitu ambil kaum bukan bumiputera dan bumiputera yang tidak bersedia.

“Waktu saya duduk jadi Menteri Kewangan II, dalam tempoh 25 tahun sebanyak RM1.7 trilion projek telah diberikan kepada bumiputera tetapi akhirnya yang dapat manfaat mereka yang jadi ejen kepada bumiputera.

“Ada (ejen bumiputera) yang jadi pemain (industri) di peringkat antarabangsa,” katanya ketika Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan sebagai panel.

Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan perlu memiliki pangkalan data khusus bagi tujuan mencegah budaya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu lagi konsep (Ali Baba) ini, kalau ada posisi atau dasar baru, kita kena bagi kepada bumiputera tulen.

“Saya cadangkan kita kena ada satu pangkalan data yang dikawal kerajaan dan dia tahu bumiputera tulen.

“Tidak boleh berbeza yang mana di Kementerian Kewangan (MoF) lain, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) lain dan di kementerian lain,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28