Tabung pecutan transformasi bumiputera bantu lonjak syarikat ke tahap tinggi

Hafsah Hashim ketika menyampaikan pembentangan sesi libat urus bertajuk "Daya Saing Perusahaan Bumiputera" pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
Hafsah Hashim ketika menyampaikan pembentangan sesi libat urus bertajuk "Daya Saing Perusahaan Bumiputera" pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu cadangan untuk memperkenalkan tabung pecutan bumiputera bagi memacu serta melonjakkan lagi syarikat ke tahap lebih tinggi dikemukakan pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia), Datuk Dr Hafsah Hashim berkata, tabung itu antara cadangan dikemukakan 970 peserta sepanjang sesi libat urus kumpulan Daya Saing Perusahaan Bumiputera sempena KEB.

Beliau berkata, melalui pengenalan tabung itu, syarikat bumiputera besar perlu menyumbang satu peratus daripada keuntungan syarikat kepada tabung dan akan diberi pelepasan cukai korporat.

"Kami ajak usahawan bumiputera yang jutawan pada setiap tahun mereka letakkan atau sumbangkan satu peratus keuntungan kepada tabung ini.

"Kami minta kepada kerajaan beri pengecualian cukai dan minta kerajaan bagi dana padanan. Kalau dalam tabung pecutan transformasi bumiputera ada RM10 juta, kami minta kerajaan padankan RM10 juta dan jadi RM20 juta,” katanya.

Hafsah berkata, konsep pengenalan tabung itu telah dibincangkan dengan syarikat bumiputera besar dan kebanyakannya bersetuju dengan penubuhannya.

Sementara itu, Hafsah turut mencadangkan agar kerajaan mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi membanteras ekonomi hitam dan isu kartel.

"(Cadangan) disampaikan kepada sekretariat supaya kerajaan tengok kembali sama ada GST ini adalah lebih baik dan boleh dikembalikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) (ketika ini,)” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau menggesa usahawan bumiputera supaya meningkatkan tahap kemahiran usahawan bumiputera melalui penguasaan kecerdasan buatan (Al), Block Chain Technology, Meta Verse dan Big Data Analytics.

"Usahawan juga digalak cenderung dalam ekonomi GIG untuk mendaftarkan perniagaan mereka supaya dapat akses kepada pembiayaan dan syarikat dapat berkembang dengan cepat,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucaptama KEB 2024 mencadangkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, diadakan bagi menetapkan hala tuju, dasar dan pendekatan baharu agenda pemerkasaan bumiputera. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28