Balai Polis Presint 11 Putrajaya sedia beri khidmat terbaik

Allaudeen (tengah) merasmikan Balai Polis Presint 11, Putrajaya pada Khamis.
Allaudeen (tengah) merasmikan Balai Polis Presint 11, Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Balai Polis Presint 11, di sini yang bercirikan kontemporari serta berkompetensi tinggi mampu mewujudkan persekitaran selamat selain memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ini sekali gus memudahkan pihak polis memberi perkhidmatan yang lebih berkesan.

Menurutnya, untuk perkongsian bersama, Balai Polis Presint 11 yang berkeluasan 1.6 hektar telah siap sepenuhnya pada April 2008 dan telah mula beroperasi pada 13 Mei 2008 dengan kos pembinaan RM14 juta.

"Balai polis ini merangkumi balai, 48 unit kuarters, taman permainan kanak-kanak dan surau serta lokap yang telah diwartakan pada 28 November 2016.

"Balai Polis Presint 11 ini terbina hasil daripada kesungguhan dan keprihatinan pihak kerajaan terhadap keperluan asas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejajar dengan arus pembangunan masa kini dan keperluan semasa sekali gus bertepatan dengan slogan ’Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'," katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Balai Presint 11 di sini pada Khamis.

Allaudeen yang akan menjalani persaraan wajib pada 1 April depan berkata, perasmian ini akan menitip semangat kepada pegawai dan anggota untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik dan efisien kepada masyarakat setempat.

"Saya ingin mendahulukan ucapan terima kasih kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kerana memberi penghormatan kepada saya untuk menyempurnakan majlis yang penuh bersejarah ini," ujarnya.

Tambah Allaudeen, beliau turut menyeru kepada semua warga Polis Kuala Lumpur khasnya warga Balai Polis Presint 11 untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah, telus, ikhlas, berakauntabiliti dan patuh kepada peraturan serta undang-undang yang didokong.

Artikel Berkaitan:

"Berikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat amnya serta menjadikan PDRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang bertaraf dunia," katanya.