Bantuan zakat menyeluruh, tak pinggir kawasan pembangkang - ZPP

ZPP sentiasa memastikan tiada pihak akan terpinggir dalam agihan zakat dalam skim yang disediakan selama ini.
ZPP sentiasa memastikan tiada pihak akan terpinggir dalam agihan zakat dalam skim yang disediakan selama ini.
A
A
A

GEORGE TOWN - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menafikan dakwaan berhubung agihan zakat yang dilaksanakan di negeri ini telah meminggirkan golongan asnaf di kawasan pembangkang.

Timbalan Ketua Menteri I (TKM I), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, semua keputusan berhubung agihan zakat yang melibatkan jumlah yang besar diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah ZPP.

Menurutnya, sebagai agensi di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), pengurusan profesional ZPP sentiasa memastikan tiada pihak akan terpinggir dalam agihan zakat dalam skim yang disediakan selama ini.

Mohamad
Mohamad

"Kerajaan Pulau Pinang melalui ZPP bertekad untuk berusaha dalam membantu golongan asnaf di negeri ini. Banyak skim bantuan yang akan dilaksanakan dan telah dilaksanakan.

"Antaranya program ‘Back To School’ dan Nur Ramadan. Ia sebahagian daripada program membantu golongan asnaf di Pulau Pinang yang mana ia akan dilancarkan oleh saya sendiri.

"Program terbabit akan diadakan pada 3 Mac ini di Sunshine Square, Bayan Baru. Melalui program ini, dianggarkan 20,000 murid di negeri ini akan menerima pakaian seragam sekolah, membabitkan sumbangan zakat sebanyak RM3 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah ZPP berkata, bagi program Nur Ramadan pula, ia adalah sumbangan hamper E-tunai melibatkan seramai 15,654 asnaf.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan berjumlah RM1.56 juta adalah daripada sumber zakat. Sebagai persiapan menyambut Ramadan, penerima boleh menebus barangan dapur bernilai RM100 di kedai atau pasar raya terpilih hanya menggunakan kad pengenalan tanpa tunai.

"Agihan zakat bagi skim pakaian seragam dan hamper Nur Ramadan tetap diperuntukan kepada kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) melalui Pusat Khidmat KADUN Kerajaan, Penyelaras KADUN, Ahli MAINPP, Ahli Lembaga Pengarah ZPP dan pihak sekolah. Semua permohonan dibuat secara dalam talian," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, tohmahan oleh Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff dalam sidang media pada Rabu kononnya pihak ZPP menafikan hak asnaf di kawasan pembangkang adalah tidak berasas.

"Tohmahan yang telah mengaitkan saya kononnya ia adalah arahan daripada saya, bukan sahaja berniat jahat, malah ia bersifat fitnah. Hanya kerana agihan tidak dibuat melalui wakil pembangkang, ia tidak bermakna asnaf di kawasan berkenaan dinafikan hak mereka.

"Jelas beliau sedang bermain politik dengan menanam api kesangsian dan kebencian bagi menjauhkan pembayar zakat daripada ZPP. Dalam erti kata lain, beliau cuba mensabotaj secara halus usaha profesional ZPP untuk membantu asnaf keluar daripada kemiskinan tegar.

"Selaku TKM I dan Exco Pembangunan Agama Islam, saya akan memastikan tiada asnaf yang layak menerima zakat telah diketepikan daripada menerima skim-skim agihan zakat yang ditawarkan oleh ZPP," katanya.

Mohamad menambah, beliau akan memastikan MAINPP dan ZPP yang merupakan agensi kerajaan negeri ditadbir urus melalui tatakelola yang baik bagi menjaga kepentingan serta keseimbangan sosioekonomi masyarakat Islam di Pulau Pinang.

Pada Rabu, Muhammad Yusoff dalam sidang medianya dilaporkan berkata, bantuan zakat di Pulau Pinang telah dinafikan kepada pengundi daripada golongan miskin di 11 kawasan pembangkang.

Menurut Muhammad Yusoff, isu itu bermula apabila ZPP hanya memanggil wakil daripada parti Kerajaan Perpaduan untuk menghadiri sesi skim pakaian sekolah dan penyampaian hamper Nur Ramadan kepada golongan miskin awal bulan ini.

Katanya, wakil rakyat pembangkang telah meminta penjelasan daripada ZPP berhubung perkara itu, namun diberitahu ia adalah arahan daripada Mohamad.

Muhammad Yusoff juga mendakwa, banyak permintaan daripada wakil rakyat pembangkang untuk bertemu dengan Mohamad namun tidak diendahkan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28