577 kanak-kanak terlibat jenayah di Selangor

Anfaal semasa menjawab pertanyaan pada sidang DUN Selangor pada Rabu.
Anfaal semasa menjawab pertanyaan pada sidang DUN Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 577 kanak-kanak berusia 13 hingga 18 tahun terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Ekonomi Penjagaan, Anfaal Saari berkata, laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menunjukkan kes merusuh paling tinggi dicatatkan iaitu seramai 138 pesalah.

Menurutnya, kes kedua tertinggi pula ialah jenayah kecurian lain sebanyak 109 kes dan mendatangkan cedera sebanyak 86 kes.

"Selain itu, kes rogol (85), curi motosikal (73), pecah rumah (28), ugutan jenayah (22), cabul kehormatan (19), pencerobohan (8), pemerasan (5), samun tanpa senjata api (3) dan bunuh (1)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid mengenai statistik jenayah terhadap kanak-kanak pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan DUN Selangor pada Rabu.

Anfaal berkata, bagi statistik jenayah terhadap kanak-kanak pula menunjukkan sebanyak 190 kes bagi pengabaian kanak-kanak.

Ujar beliau, sebanyak 156 kes melibatkan penderaan dan sebanyak 146 kes lagi membabitkan keganasan seksual.

Beliau memberitahu, bagi menangani perkara itu, kerajaan negeri telah membangunkan Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 yang telah dilancarkan pada Mei tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, menerusi tema ‘Anak Selangor Anak Kita’, dasar itu bermatlamat untuk mewujudkan golongan kanak-kanak yang terpelihara dari sudut hak, kebajikan, akses kepada sumber dan pembangunan potensi dengan mengambil kira peranan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, pemimpin komuniti, institusi berkaitan dan agensi kerajaan.

"Ini penting bagi memastikan tiada satu pun kanak-kanak yang ketinggalan atau tercicir," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, perlindungan dan keselamatan kanak-kanak ditekankan dalam domain lapan Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor.

"Isu teras bagi domain ini ialah penaiktarafan infrastruktur sedia ada, keselamatan persekitaran dan menambah jumlah kemudahan di kawasan luar bandar.

"Antara matlamat yang ditetapkan dalam domain ini ialah mewujudkan persekitaran dan komuniti yang selamat untuk didiami keluarga dan kanak-kanak," tambah beliau.

Anfaal menjelaskan, terdapat sembilan tindakan yang dirancang antaranya ialah kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.

"Kerjasama ini seperti meningkatkan rondaan di sekitar kawasan taman permainan dan rekreasi selain menempatkan pengawal keselamatan khusus bagi memantau kanak-kanak termasuk berkeperluan khas di tempat berisiko," jelasnya.