Baitul Mahabbah jaga kebajikan kanak-kanak

Ruslin
Ruslin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peluasan program Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dapat meningkatkan imej negara di persada antarabangsa dalam usaha menjaga hak asasi kanak-kanak warga asing.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, penyediaan tiga lagi pusat Baitul Mahabbah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dalam memastikan kebajikan kanak-kanak yang berada di depot imigresen terus terpelihara dan selamat.

“Inisiatif ini merupakan komitmen KDN dan JIM selaras dengan konsep Malaysia Madani yang menerapkan teras ihsan terhadap semua golongan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani berkata, kerajaan akan memperluas program tersebut di tiga lagi pusat penempatan sementara masing-masing satu di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan peruntukan RM10 juta.

Baitul Mahabbah adalah inisiatif KDN bagi memastikan kanak-kanak yang berada di depot imigresen selamat serta terpelihara dan bersifat sementara sehingga proses dokumentasi oleh kedutaan negara masing-masing selesai.

Baitul Mahabbah JIM yang pertama bagi menempatkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah telah diwujudkan di Kompleks Kediaman Awam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam pada itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, langkah itu dilihat mampu membaiki kedudukan negara dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report).

“Ia sebagai transit (penempatan sementara) supaya kanak-kanak ini diberi perlindungan sepenuhnya. Jadi, ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap isu imigran terutama sekali mengurangkan isu pemerdagangan manusia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia kekal berada pada peringkat tiga (Tier 3) dalam US Tip Report pada 2021 dan 2022.

Malaysia berada pada peringkat dua dalam laporan tahunan itu pada 2017 dan berada di senarai pemantauan peringkat dua dari 2018 hingga 2020. - Bernama