[VIDEO] Ketua Ayahanda Harimau Kumbang, empat ahli didakwa

A
A
A

DUNGUN - Seorang peniaga yang digelar Ayahanda Husin didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan menguruskan satu pertubuhan haram iaitu Ayahanda Harimau Kumbang.

Tertuduh, Husin Hassan, 40, tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, Husin telah mengurus satu pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 iaitu Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia (Ayahanda Harimau Kumbang).

Husin (kiri) bersama anak lelakinya, Muhammad Aieril Amirul (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Dungun pada Selasa.
Husin (kiri) bersama anak lelakinya, Muhammad Aieril Amirul (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Dungun pada Selasa.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di Kampung Sura Jeti, Dungun, Terengganu kira-kira jam 1.40 pagi pada 20 Januari 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000 atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan kedua, dia turut didakwa bersama, Mohd Syamim Abdul Rahim, 39, dengan mengambil bahagian dalam Ayahanda Harimau Kumbang tanpa kebenaran bertulis Pendaftar yang mana pertubuhan tersebut tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Artikel Berkaitan:

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 (2) Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) Akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Turut didakwa di mahkamah sama adalah empat lagi ahli kumpulan berkenaan termasuk Mohd Syamim.

Mereka ialah anak lelaki Husin iaitu Muhammad Aieril Amirul Husin, 21, dan adik lelaki Husin iaitu Mohamad Hassan, 39.

Selain itu, turut didakwa ialah mekanik iaitu Mohd Syamim dan pemandu ambulans iaitu Hilmy Ibrahim, 50.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada mereka secara berasingan.

Mengikut pertuduhan Mohamad dan Muhammad Aieril Amirul masing-masing didakwa menjadi ahli berkenaan di sebuah kawasan di Dungun pada jam 1.45 pagi dan 3.15 pagi pada 20 Januari 2023.

Mohd Syamim pula didakwa menjadi ahli berkenaan di sebuah kawasan di Dungun jam 1.50 pagi manakala Hilmy didakwa menjadi ahli berkenaan di sebuah kawasan di Kuala Terengganu jam 2.30 pagi pada 20 Januari 2023.

Kesemua mereka didakwa menjadi anggota Ayahanda Harimau Kumbang mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Husin dibebaskan dengan wang jaminan keseluruhan RM9,000 manakala Mohd Syamim dengan jaminan keseluruhan RM7,000 melibatkan seorang penjamin.

Mohamad, Muhammad Aieril Amirul dan Hilmy pula dikenakan wang jaminan RM3,000 setiap seorang dan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Amalina Najwa Mohd Ali.

Sementara itu, tiga tertuduh iaitu Husin, Mohamad dan Muhammad Aieril Amirul diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.

Mohd Syamim dan Hilmy pula diwakili peguam Nohabibah Norulalzahar.

Sebutan semula kes tersebut pada 18 Mac depan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Ayahanda Harimau Kumbang yang disyaki aktif dalam aktiviti pinjaman wang tidak berlesen dan menarik kenderaan secara haram berjaya dilumpuhkan dalam operasi khas dilakukan Bukit Aman di sekitar Dungun.

Siasatan awal mendapati Ayahanda Harimau Kumbang yang merupakan serpihan pertubuhan berdaftar, Selendang Merah mula aktif di sekitar Dungun dan dipercayai merekrut keahlian termasuk dalam kalangan anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun sejak tahun 2021.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28