Pemandu e-hailing mengaku cabul penumpang

Muhammad Syahmi Iman didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di Melaka, pada Selasa.
Muhammad Syahmi Iman didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di Melaka, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Padah mencabul penumpang wanita pada tahun lalu, seorang lelaki yang juga pemandu e-hailing didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.

Tertuduh Muhammad Syahmi Iman Muhazam, 20, membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan cara menarik paha dan menyentuh payudara dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Tindakan itu didakwa dilakukan ketika berada di atas jalan hadapan balai bomba lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah pada jam 10.21 pagi, 5 Februari 2023 lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Hasryzal Badasary merayu hukuman ringan kerana tertuduh telah insaf dan ini merupakan kesalahan pertama yang dilakukannya.

Nabilah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap tertuduh atau penjara enam bulan jika denda itu gagal dibayar.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28