75 peratus wanita simpan kurang RM500 berbanding lelaki - RMFLS 2023

Sumber gambar daripada RMFLS 2023 pada Khamis.
Sumber gambar daripada RMFLS 2023 pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2023 mendedahkan 75 peratus responden wanita menyimpan kurang daripada RM500 sebulan berbanding 66 peratus lelaki.

RinggitPlus dalam kenyataan berkata, wanita di Malaysia lebih terdedah kepada risiko kewangan disebabkan oleh penyertaan tenaga kerja yang rendah serta jurang gaji yang kian meningkat.

“Selain itu, 69 peratus responden wanita dapat bertahan kurang daripada tiga bulan dengan hanya simpanan mereka, berbanding 64 peratus lelaki.

“Malangnya, simpanan yang kurang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada kecemasan kewangan seperti kehilangan pekerjaan atau perbelanjaan di luar jangkaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, cabaran dalam menyimpan wang telah menjejaskan keupayaan wanita di Malaysia untuk menambahkan simpanan dan membina dana persaraan mereka pada masa depan.

Jelasnya, RMFLS 2023 mendapati 44 peratus responden wanita telah mula melabur berbanding 56 peratus responden lelaki.

“51 peratus responden wanita telah mula merancang kewangan untuk persaraan mereka, iaitu 10 peratus kurang daripada responden lelaki.

“Justeru, inisiatif kerajaan, yang termasuk pelbagai inisiatif dalam Rangka Kerja Ekonomi Madani serta Belanjawan 2024 berperanan penting untuk menangani trend yang membimbangkan ini.

Artikel Berkaitan:

“Misalnya, Belanjawan 2024 mengetengahkan sokongan pembiayaan khusus untuk usahawan wanita serta insentif cukai bagi menggalakkan wanita kembali ke tenaga kerja,” ujar kenyataan itu.

RMFLS 2023 memberi gambar keseluruhan tentang tabiat kewangan rakyat Malaysia serta mengupas pelbagai cabaran unik yang didepani oleh mereka.