'Kos rawatan pesara kerajaan, IJN bukan pembuat dasar'

IJN hanya mematuhi segala ketetapan dalam memberi rawatan kepada pesakit dan tidak campur tangan dalam isu dasar. (Gambar kecil: Dr Noor Hisham) Gambar hiasan
IJN hanya mematuhi segala ketetapan dalam memberi rawatan kepada pesakit dan tidak campur tangan dalam isu dasar. (Gambar kecil: Dr Noor Hisham) Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan mengenai Institut Jantung Negara (IJN) enggan menanggung kos rawatan kepada pesara penjawat awam perlu diselesaikan segera menerusi kaedah terbaik daripada pihak yang terlibat dalam merangka dasar dan pekeliling sedia ada.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak IJN hanya mematuhi segala ketetapan dalam memberi rawatan kepada pesakit dan tidak campur tangan dalam isu dasar.

"IJN merupakan 'penerima', bukan pembuat dasar. Kami hanya mengikut dan melaksanakan dasar dan pekeliling sedia ada.

"Untuk situasi seperti ini, kena tanya kepada pembuat dasar, bukan tanya kepada IJN.

"Kami berharap perkara ini mendapat penyelesaian terbaik daripada mereka yang membuat dasar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai laporan portal perubatan Codeblue berhubung dakwaan pesara kerajaan yang mendedahkan tindakan IJN tidak menanggung kos rawatan mereka di pusat perubatan itu.

Sebelum ini pada Ogos lalu, isu sama telah dibangkitkan sehingga menimbulkan spekulasi bahawa IJN telah diswastakan dan enggan memberi rawatan kepada penjawat awam yang sudah bersara.

Justeru, institusi pakar jantung itu tampil memberi penjelasan bahawa organisasi tersebut masih kekal sebagai entiti korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan tidak pernah diswastakan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun IJN memaklumkan, komitmen dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang cemerlang kepada penjawat awam tidak pernah goyah dan telah berusaha untuk menawarkan rawatan perubatan pada tahap tertinggi kepada semua pesakit tanpa mengira latar belakang.

Tambah institusi berkenaan, walaupun beroperasi di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, misi utama iaitu menyediakan perkhidmatan perubatan yang bermutu kepada semua rakyat Malaysia termasuk penjawat awam, pesara dan rakyat daripada pelbagai sektor serta pesakit dari negara jiran masih dikekalkan.

Mengulas lanjut, IJN berkata, semua kakitangan kerajaan, pesara dan tanggungan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mendapatkan rujukan daripada pakar perubatan umum, pakar kardiologi serta pakar perubatan kecemasan di klinik atau hospital sama ada kerajaan atau swasta.

"Pesakit dengan surat jaminan (GL) kerajaan boleh merujuk kepada pekeliling JPA Lampiran SR. 2.1.1 (G) yang terdapat dalam portal rasmi MyPPSM atau merujuk kepada bahagian sumber manusia mereka mengenai proses ini kerana setiap agensi kerajaan mempunyai terma dan syarat tersendiri mengenai kelayakan serta perlindungan pekerja mereka apabila mendapatkan rawatan di pusat kami.

"Oleh itu, susulan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil 12/2002-GGaris Panduan Rawatan Susulan di IJN bagi Pesakit Tanggungan Kerajaan, pesakit hendaklah discaj ke hospital yang merujuk 12 bulan selepas menjalani prosedur atau pembedahan, dengan syarat pesakit memerlukan rawatan dan pengurusan susulan," jelas institusi berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28