Jualan Agro Madani beri manfaat 62,000 pengunjung, 6,000 usahawan

JAM CDERT APM Pahang menawarkan pelbagai barangan keperluan dan makanan dengan harga lebih rendah dari pasaran
JAM CDERT APM Pahang menawarkan pelbagai barangan keperluan dan makanan dengan harga lebih rendah dari pasaran
A
A
A

KUANTAN - Lebih 62,000 pengunjung dan 6,000 usahawan menerima manfaat melalui 362 Program Jualan Agro Madani (JAM) yang diadakan di negeri ini tahun lalu.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, berdasarkan sambutan diterima tahun lalu, Lembaga Pasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang menyasarkan 310 program JAM sehingga September tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 70 lokasi di Pahang telah dilaksanakan program jualan itu setakat Februari.

"Semua program dan projek yang dilaksanakan FAMA menyasarkan usahawan dalam membantu rantaian pemasaran.

"Lebih daripada 3,666 usahawan di negeri ini didaftarkan di bawah FAMA sehingga tahun lalu bagi memenuhi program dan projek seperti pasar tani, industri asas tani, ladang kontrak, peruncitan, pemasaran digital (Agrobazaar Online) dan usahawan muda di bawah program New Breed Marketing Entrepreneur (NBME) dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program JAM Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti Pertahanan Awam (CDERT) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengarah APM Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman dan Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri.

Amizar (kanan) berbincang sesuatu bersama Che Adam (kiri) dan Saiful ketika meninjau gerai usahawan yang mengambil bahagian pada JAM CDERT APM Pahang di sini pada Selasa.
Amizar (kanan) berbincang sesuatu bersama Che Adam (kiri) dan Saiful ketika meninjau gerai usahawan yang mengambil bahagian pada JAM CDERT APM Pahang di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Amizar berkata, tahun ini FAMA membuka peluang dan ruang kepada lebih 583 usahawan lagi bagi projek yang sedia ada dan baharu.

"Pada masa sama FAMA juga menyediakan 21 ruang pasaran sedia ada dan tiga lagi akan dibina seperti pasar tani dan pasar tani kekal selain pusat pentadbiran yang ada di seluruh daerah.

"Kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak FAMA bagi menambah nilai dan mewujudkan inisiatif baharu untuk membangunkan usahawan di negeri ini yang terlibat dalam sektor pertanian.

"Inisiatif ini Insya-ALLAH akan diumumkan kerajaan negeri nanti," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga cuba untuk menyelaraskan beberapa inisiatif dan produk -produk usahawan yang boleh diketengahkan terutama hasil pertanian untuk pasaran eksport.

Sementara itu katanya, JAM CDERT APM Pahang merupakan satu bentuk kerjasama 'luar kotak' antara FAMA dan agensi keselamatan untuk bersama masyarakat melalui program tersebut.

"Setakat ini APM Pahang merupakan agensi keselamatan kedua di negeri ini yang terlibat dalam program jualan tersebut selain Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tahun lalu.

"Difahamkan, hampir 70 pegawai FAMA Pahang merupakan anggota CDERT APM," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!