Lebih 5,000 meriahkan Program Kecergasan KPM di Perlis

Budayakan sukan dalam kalangan warga pendidik, murid dan masyarakat

A
A
A

Fadhlina (depan, tengah) bersama Mohd Shukri (bertopi hitam) menyertai Fun Walk ketika Program Kecergasan KPM yang diadakan bersempena HSN 2023 Peringkat Negeri Perlis di Kangar pada Sabtu.
Fadhlina (depan, tengah) bersama Mohd Shukri (bertopi hitam) menyertai Fun Walk ketika Program Kecergasan KPM yang diadakan bersempena HSN 2023 Peringkat Negeri Perlis di Kangar pada Sabtu.



KANGAR - Lebih 5,000 peserta yang terdiri daripada murid sekolah, kakitangan pendidikan bersama ahli keluarga mereka berkumpul memeriahkan Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Negeri Perlis, di sini pada Sabtu.

Diadakan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini, program yang diadakan setiap tahun itu merupakan inisiatif KPM membudayakan sukan dalam kalangan warga KPM, murid serta masyarakat bersempena Hari Sukan Negara 2023 (HSN 2023) yang disambut pada 14 Oktober di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek berkata, dalam membentuk sebuah masyarakat yang progresif, salah satu elemen penting adalah budaya kesihatan dan kecergasan dalam diri seseorang individu.

“Justeru, program (Program Kecergasan KPM dan HSN 2023) ini adalah satu usaha yang baik bagi memastikan pembinaan kemajuan negara pada masa depan. Selain itu, program ini memperlihatkan kerjasama erat di antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri (Perlis).

Fadhlina (duduk, tengah) bersama-sama murid sekolah yang menyertai Program Kecergasan KPM yang diadakan sempena sambutan HSN 2023 di Kangar, Perlis.
Fadhlina (duduk, tengah) bersama-sama murid sekolah yang menyertai Program Kecergasan KPM yang diadakan sempena sambutan HSN 2023 di Kangar, Perlis.



“Hari ini, kita lihat ramai rakyat Perlis hadir bersama-sama warga KPM meriahkan program ini,” katanya selepas merasmikan Program Kecergasan KPM yang diadakan sempena sambutan HSN 2023 Peringkat Negeri Perlis, di sini.

Hadir sama dalam program itu ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Kepelbagaian aktiviti

Artikel Berkaitan:


Tambah Fadhlina, Program Kecergasan KPM yang mula diperkenalkan pada tahun 2017 itu diadakan dengan pengisian pelbagai aktiviti sukan sekali gus menarik minat golongan belia untuk turut serta.

Program Kecergasan KPM sempena HSN 2023 Peringkat Negeri Perlis turut disertai murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Program Kecergasan KPM sempena HSN 2023 Peringkat Negeri Perlis turut disertai murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).



Antara aktiviti yang diadakan ialah senamrobik, Fun Walk (tiga kilometer), pertunjukan dan klinik lompat tali, pertandingan bola sepak, klinik sukan hoki dan ragbi.

Selain itu, turut diadakan ialah pameran daripada Majlis Sukan Negeri Perlis, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis.

Pada masa sama, program itu turut diadakan pameran daripada agensi swasta seperti Enervive, Ideria dan E-Sport.

“Kita raikan program ini secara bersama-sama sebagai rakyat Malaysia untuk mencapai budaya kehidupan yang sihat,” jelas Fadhlina.

Teruja

ALIFAH ILYANA
ALIFAH ILYANA



Sementara itu, murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Alifah Ilyana Mohd Nizar,18, berkata, dia amat gembira dan teruja kerana dapat menyertai program itu bersama rakan-rakannya.

“Banyak aktiviti kami buat. Saya harap hari sukan ini dapat diadakan lebih kerap supaya lebih ramai lagi dapat menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan,” katanya.

Pandangan yang sama dikongsi seorang murid, Nur Hazirah Marzuki, 18, yang menyifatkan Program Kecergasan KPM dan HSN 2023 merupakan peluang kepada semua pihak memberi lebih perhatian terhadap manfaat sukan dalam kehidupan seharian.

NUR HAZIRAH
NUR HAZIRAH



Malah, dia turut berharap lebih banyak lagi aktiviti dapat diperkenalkan dalam program itu untuk tahun-tahun seterusnya dengan penglibatan masyarakat dari semua peringkat usia.

Program Kecergasan KPM bersempena HSN 2023 itu turut menyaksikan 4.1 juta orang murid daripada 9,980 buah sekolah rendah dan menengah menyertai larian 1Murid 1Sukan yang diadakan secara serentak di seluruh negara.

Turut serta dalam program itu ialah murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Program tersebut selaras dengan Dasar 1Murid 1Sukan KPM yang menggalakkan semua murid untuk bergiat aktif dalam bidang sukan.