Program Gotong-Royong MADANI catat kejayaan cemerlang

Didik murid cakna kebersihan, pacu perpaduan

A
A
A


Program gotong-royong yang dilaksanakan secara bersepadu telah memupuk perpaduan dalam kalangan peserta.
Program gotong-royong yang dilaksanakan secara bersepadu telah memupuk perpaduan dalam kalangan peserta.



SHAH ALAM - Program Gotong-Royong MADANI yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya memberi impak positif kepada pembentukan nilai-nilai murni dalam kalangan murid dan warga sekolah.

Demikian dinyatakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan yang mana program tersebut yang diadakan pada awal Julai hingga akhir September 2023 itu turut memupuk perpaduan dan kerjasama antara semua pihak yang terlibat.

Antara pihak yang turut serta dalam Program Gotong-Royong MADANI itu katanya ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS), agensi kerajaan dan swasta, NGO, para guru serta murid.

“Program ini jelasnya telah meningkatkan tahap kebersihan, kesihatan, keselamatan sekolah di samping memperingatkan keprihatinan dan rasa kepunyaan kepada sekolah.

Empat kanak-kanak sedang membersihkan tandas sekolah.
Empat kanak-kanak sedang membersihkan tandas sekolah.



“Malah, program ini turut membudayakan amalan gotong-royong dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan murid dan warga sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada 24 Februari lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023: Membangun Malaysia MADANI telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan program gotong-royong di sekolah KPM seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Azman berkata, semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan KPM terlibat menerima manfaat daripada peruntukan belanjawan berkenaan.

“KPM telah menyalurkan peruntukan ke sekolah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Program gotong-royong telah disertai oleh semua sekolah di seluruh negara.
Program gotong-royong telah disertai oleh semua sekolah di seluruh negara.



“Agihan peruntukan ke sekolah adalah berdasarkan enrolmen murid. Setiap sekolah menerima sekurang-kurangnya RM1,000 dan RM4,300 maksimum,” jelasnya.

Katanya lagi, peruntukan tersebut boleh digunakan untuk perbelanjaan pembelian peralatan dan bahan pembersihan, peralatan pembaikan kecil, bahan dan peralatan mengecat, makan dan minum dan keperluan lain yang berkaitan.

Malah, pihak sekolah juga digalakkan mendapatkan sumbangan atau tajaan bawah tanggungjawab sosial korporat dari aspek kepakaran, kemudahan, peralatan dan makanan yang diperlukan untuk menjayakan pelaksanaan program ini daripada pihak luar.

“Alhamdulillah, pada 30 September 2023, semua sekolah telah selesai melaksanakan Program Gotong-Royong MADANI. Program ini memfokuskan kepada aktiviti kebersihan dan keceriaan dan pembaikan kecil di sekolah,” ujarnya.

Penerusan program

Seorang guru (kiri) bersama dua pelajar sedang mengecat meja sempena Program Gotong-Royong Madani yang diadakan sekolah mereka.
Seorang guru (kiri) bersama dua pelajar sedang mengecat meja sempena Program Gotong-Royong Madani yang diadakan sekolah mereka.



Menurut Azman lagi, melihat kepada sambutan yang memberangsangkan, KPM menjangkakan program tersebut akan diteruskan pada masa akan datang.

Malah, kaedah pelaksanaan katanya akan disesuaikan dengan keadaan semasa di samping mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk membantu meneruskan program ini pada masa depan.

Pada masa sama, hasil tinjauan KPM mendapati bahwa pihak sekolah amat bersetuju serta menyokong penuh inisiatif pelaksanaan Program Gotong-Royong MADANI.

“Inilah kali pertama pihak sekolah menerima peruntukan khas untuk melaksanakan program gotong-royong kebersihan, kesihatan dan keselamatan (3K) di sekolah.

“Pelibatan PIBG dan PIBKS, agensi kerajaan dan swasta, NGO, guru dan murid amatlah memberangsangkan,” ujar beliau.