PM Palestin letak jawatan, cadang langkah politik baharu

Shtayyeh telah memaklumkan keputusan pengundurannya pada minggu lalu sebelum surat bertulis dihantar secara rasmi. Foto Agensi
Shtayyeh telah memaklumkan keputusan pengundurannya pada minggu lalu sebelum surat bertulis dihantar secara rasmi. Foto Agensi
A
A
A

RAMALLAH - Pergolakan politik di Tebing Barat yang ditadbir gerakan Fatah semakin jelas selepas Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh pada Isnin mengumumkan pengunduran kerajaan pimpinannya pada Isnin.

Beliau memaklumkan langkah politik baharu diperlukan berikutan realiti yang berubah di Genting Gaza.

“Saya sudah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Presiden Mahmoud Abbas,” katanya sambil menambah keputusan itu dibuat berdasarkan perkembangan konflik di Gaza dan peningkatan insiden keganasan di Tebing Barat serta Baitulmaqdis.

Menurutnya, perkara itu telah dimaklumkan pada minggu lalu sebelum surat bertulis dihantar secara rasmi.

Keputusan mengejutkan itu dibuat selepas beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) menggesa pembaharuan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang akan mengambil alih wilayah Palestin selepas perang Gaza berakhir.

“Fasa dan cabaran seterusnya akan digalas kerajaan baharu yang akan mengambil kira situasi terkini di Gaza,” ujarnya yang mencadangkan konsensus antara Palestin dan peluasan kuasa PA ke seluruh wilayah Palestin.

Sejak 2007, kepimpinan Palestin telah dibahagikan antara PA yang dipimpin Abbas yang mempunyai kuasa terhad di Tebing Barat dan Hamas yang mentadbir Genting Gaza. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: