PAC Perak: Ada pegawai jabatan, agensi enggan hadir prosiding

Zainol Fadzi
Zainol Fadzi
A
A
A

IPOH - Perintah Tetap berhubung Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Perak perlu dikaji dan ditambah baik bagi memberi lebih kuasa kepada jawatankuasa itu.

Pengerusi PAC negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, peranan jawatankuasa itu ketika ini dilihat tidak setara dengan PAC di peringkat Parlimen yang mempunyai punca kuasa tertentu diperuntukkan dalam enakmen.

Menurutnya, PAC negeri bukan sahaja berperanan menilai dan membuat siasatan berkaitan penggunaan dana kerajaan yang diserahkan kepada jabatan dan agensi, tetapi memastikan peruntukan digunakan mengikut perancangan dicadangkan.

"Sudah tentu ia memerlukan punca kuasa yang lebih baik sepertimana diperuntukkan kepada PAC di Parlimen.

"Banyak negeri-negeri yang ikut (enakmen) Parlimen sedangkan Perak tidak. Jadi saya rasa sudah sampai masanya kita usulkan kajian semula atau lakukan penambah baikan terhadap peruntukan yang diberikan kepada PAC ini," katanya dalam sidang akhbar sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Perkara tu turut dibangkitkan dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, masalah timbul apabila terdapat pegawai jabatan dan agensi kerajaan tidak hadir ketika dipanggil untuk prosiding PAC.

Katanya, tindakan itu memperlihatkan peranan PAC yang dianggotai gabungan wakil rakyat pembangkang dan kerajaan ini tidak dihormati dan dianggap sambil lewa.

Artikel Berkaitan:

"Berbulan-bulan kita hantar surat, tetapi tidak mahu hadir kerana mereka tahu tiada tindakan boleh diambil pun.

"Jika kita ada lebih kuasa seperti memberikan notis atau mengenakan denda dengan jumlah tertentu, mungkin mereka rasa lebih bertanggungjawab hadir memberi penjelasan dan menjadi saksi dalam sebarang isu yang timbul," katanya.

Zainol Fadzi yakin, penambahbaikan terhadap perintah tetap PAC itu dapat membantu pembangunan kerajaan negeri terutama menghadapi teguran-teguran daripada Jabatan Audit Negara.

"Mungkin setengah pihak salah faham, bila PAC panggil, dia buat salah.

"Tidak, kita bukan penguat kuasa, kita nak membantu kerajaan negeri mencari sebab-sebab kenapa sesuatu jabatan dan agensi itu tidak ikut teguran audit dan sebagainya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!