Pas mampu rampas Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Tuan Ibrahim - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak mustahil Pas mampu merampas Perak, Pahang, Selangor, dan Negeri Sembilan pada masa depan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, gelombang rakyat yang mahu melakukan perubahan kini semakin ketara, dan wajar dimanfaatkan dengan memperkukuhkan lagi gabungan parti.

Justeru, Pas yakin mampu menawan ke empat-empat negeri tersebut jika disokong dengan kekuatan jentera parti yang kini masih perlu diperkasakan.

“Selangor dan Negeri Sembilan bertuah kerana jentera luar datang membantu, memperkasakan kekuatan di semua kawasan kita bertanding.

“Maka, apa yang sedia ada perlu diperkasakan, dipertahankan. Insya-ALLAH kita penuh yakin, kita punya potensi besar untuk menawan Perak, Pahang, Selangor, dan tidak mustahil Negeri Sembilan pada masa depan.

“Insya-ALLAH, gelombang sokongan pada kita yang satu masa menjadi masalah besar khususnya kawasan Felda, hari ini Felda menjadi lubuk kita, di kawasan yang kita bertanding,” katanya ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-69 dekat sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, mengakui kekuatan Pas di kawasan dan cawangan masih lemah dan muafakat politik dalam Perikatan Nasional (PN) perlu terus diperkasakan

"Di peringkat kawasan perlu diperkukuhkan, diperkasakan agenda ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu memperbanyakkan cawangan gerak kerja parti sebab ini adalah asas. Bila kita nak pilih kerusi, kekuatan itu salah satu syarat yang perlu ada,” ujarnya.