Wanita dua anak terlantar sakit, suami hilangkan diri

Keadaan Fasihah yang hanya mampu terlantar di atas katil selepas terbabit dalam kemalangan dua tahun lalu.
Keadaan Fasihah yang hanya mampu terlantar di atas katil selepas terbabit dalam kemalangan dua tahun lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang suri rumah dua orang anak dari Bukit Rambai di sini, bukan sahaja terlantar sakit malah sejak pulang ke rumah, suami tidak pernah sekali menjenguk keadaannya.

Itulah dugaan yang menimpa Fasihah Zamran, 30, setelah mengalami kecacatan fizikal akibat kemalangan jalan raya pada September 2022 hingga terpaksa minum menggunakan tiub dan memakai lampin pakai buang.

Ibunya, Suriani Abd Rahman,50, berkata, insiden yang menimpa anak ketiga daripada 11 beradik itu berlaku ketika Fasihah yang menunggang motosikal bersama anak bongsu perempuan berusia 11 tahun untuk mengambil suaminya di sewa rumah mereka.

Menurutnya, ketika itu Fasihah sekeluarga sedang diuji apabila suami dihalau keluar dari rumah sewa mereka di Taman Merdeka, Batu Berendam disebabkan gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah.

Suriani sentiasa menemani Fasihah yang terlantar sakit.
Suriani sentiasa menemani Fasihah yang terlantar sakit.

"Namun dalam perjalanan ke sana motosikalnya terbabas di Cheng hinggakan besi papan tanda tercucuk tembus ke dalam helmet hingga ke terkena kepalanya.

"Sejak dari itu dia bukan sahaja seperti anak kecil, malah tiada tempurung kepala sebelahnya dan kesakitan itu disebabkan masalah urat saraf," katanya ketika di temui di Kampung Jalan Batang Tiga, Bukit Rambai di sini, pada Isnin.

Tambahnya, sejak dua tahun lalu dia menjaga anak perempuannya itu termasuk dua cucu yang merupakan anak Fasihah dan masih bersekolah berusia 12 dan 14 tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sejak Fasihah dibawa pulang ke rumah, sehingga hari ini suami wanita bukan sahaja tidak pernah datang melawat dan mengambil tahu keadaan Fasihah dan anak-anaknya malah jauh sekali untuk memberi nafkah.

Fasihah yang dahulunya seorang wanita ceria kini terlantar sakit.
Fasihah yang dahulunya seorang wanita ceria kini terlantar sakit.

Katanya, meskipun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 namun tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan Fasihah termasuk kos lapan tin susu khas dan lampin pakai buang setiap bulan.

"Sebelum ini kami menumpang di rumah anak dan sejak seminggu lalu saya mendiami rumah atas ihsan tanah mak mentua.

"Di rumah yang masih dalam pembinaan ini kami tinggal seramai 11 orang lain termasuk suami dan anak-anak lain serta tiga cucu," katanya.

Tambahnya, dibantu suami dia mengusahakan kedai makan di depan rumah dengan pendapatan dianggarkan sekitar RM30 sehari.

"Sebab rumah ini bukan terletak di tepi jalan, jadi tak ramai yang tahu namun saya percaya pada rezeki, sekurang-kurangnya pendapatan yang ada dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya yang berharap Fasihah beransur pulih dan dapat menguruskan dirinya sendiri suatu hari nanti.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Suriani Abd Rahman 0413529000122232.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!