Mihas sedia berkembang, sasar jualan RM1 bilion di Ekspo Dubai

Mohd Mustafa Abdul Aziz dalam temu bual di Menara Matrade di sini baru-baru ini.Foto Bernama
Mohd Mustafa Abdul Aziz dalam temu bual di Menara Matrade di sini baru-baru ini.Foto Bernama
A
A
A

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) bersedia untuk berkembang di peringkat antarabangsa, menyedari kepentingan dan keperluan untuk meluaskan skopnya melangkaui sempadan domestik.

Inisiatif pertama ini yang dinamakan Mihas @Dubai akan bermula dengan acara tersebut diadakan di Ekspo Produk Organik dan Semula Jadi Timur Tengah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 18 hingga 20 November ini, menyasarkan jualan berjumlah RM1 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, inisiatif strategik ini mengiktiraf potensi pertumbuhan dan menekankan kepentingan untuk menjadikan Mihas sebagai acara yang terkenal di peringkat global.

"Pengantarabangsaan Mihas adalah satu inisiatif untuk membawa jenama itu kepada tahap yang lebih tinggi serta menarik pelbagai peserta dan pembeli terutamanya dari pasaran Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika ke acara utama di Mitec, Kuala Lumpur.

"Melalui sasaran jualan sebanyak RM1 bilion pada acara itu, ia menunjukkan komitmen kami untuk menjana pendapatan dan menembusi pasaran.

"Dengan menjadikan Mihas sebagai acara yang diiktiraf di peringkat global, kami mahu menempatkan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri halal antarabangsa,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di Menara Matrade di sini baru-baru ini.

Melalui pemilihan Dubai, katanya, Matrade menyasarkan untuk memanfaatkan lokasinya yang strategik, landskap perniagaan yang berdaya maju dan minat yang semakin meningkat terhadap produk halal untuk memaksimumkan impak dan kejayaan Mihas di peringkat antarabangsa.

Beliau yakin Matrade akan mencapai sasaran jualan sebanyak RM1 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Kami mahu mempamerkan kepelbagaian rangkaian produk dan perkhidmatan halal Malaysia dengan 150 hingga 200 peserta daripada syarikat berskala kecil, sederhana dan besar yang sedia untuk eksport di Mihas @Dubai.

"Antara sektor yang akan dipromosikan ialah pemprosesan makanan, farmaseutikal, kecantikan dan kosmetik serta produk kesihatan. Kami sedang mempertimbangkan sektor lain termasuk perkhidmatan,” katanya.

Ekspo tersebut merupakan pameran perdagangan yang terbesar di Timur Tengah untuk produk organik dan semula jadi yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Dubai.

Mengenai prestasi perdagangan Malaysia, Mohd Mustafa berkata, ia dijangka pulih pada 2024 sejajar dengan unjuran Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menjangka perdagangan global berkembang sebanyak 3.3 peratus.

"Sebagai mencerminkan keadaan sedemikian, perdagangan Malaysia pada Januari 2024 meningkat semula dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.3 peratus kepada RM234.73 bilion selepas mencatatkan penguncupan 10 bulan berturut-turut tahun ke tahun,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas terutamanya Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) penting dalam memudahkan akses produk Malaysia ke pasaran yang lebih luas.

Katanya, ini akan meningkatkan pertumbuhan eksport seperti yang ditekankan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang turut memfokuskan kepada sektor bernilai tinggi dan berimpak tinggi.

Bagaimanapun, Mohd Mustafa berkata, perdagangan global mungkin masih terjejas oleh faktor seperti ketidaktentuan global yang wujud daripada ketegangan geopolitik yang berpanjangan, keupayaan dan kesediaan pengeksport dalam memenuhi permintaan pasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), gangguan dalam rantaian bekalan global dan harga komoditi yang tidak menentu.

"Tahun 2024 mungkin menyaksikan perubahan politik yang ketara, dengan pilihan raya utama dijadualkan berlangsung di negara rakan dagang utama kita terutamanya Amerika Syarikat, Korea Selatan dan India yang boleh memberi impak ketara kepada perdagangan dan hubungan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Matrade turut menyaksikan beberapa pencapaian pada 2023, antaranya ialahMihas edisi ke-19 yang menjadi penganjuran terbesar dengan jumlah jualan sebanyak RM3.2 bilion.

"Pencapaian utama lain ialah inisiatif penjenamaan semula, program Nilai Tindakan Kelestarian untuk Pengeksport (S.A.V.E), Hari Eksport, Pembangunan Pengeksport Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Peringkat Pertengahan dan hak penamaan untuk Stadium Matrade Loftus Road,” kata Mohd Mustafa. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28