Video tular: Lelaki ditahan bukan tokan dadah

Polis sahkan lelaki yang ditahan di persimpangan lampu isyarat Batu 1 merupakan pesalah trafik.
Polis sahkan lelaki yang ditahan di persimpangan lampu isyarat Batu 1 merupakan pesalah trafik.
A
A
A

PORT DICKSON - Polis mengesahkan video tular di laman sosial Facebook pada Jumaat membabitkan dua individu bermotosikal menahan seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat Batu 1, di sini merupakan pesalah trafik.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian tersebut berlaku pada Selasa lalu, jam lebih kurang 5.30 petang melibatkan anggota polis trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Port Dickson yang sedang menjalankan tugasan Op Motosikal di daerah Port Dickson.

"Hasil pemeriksaan ke atas lelaki warga tempatan itu mendapati terdapat kesalahan yang dikesan seperti tidak mempunyai lesen memandu, tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi.

"Dia juga didapati mengubahsuai ekzos, nombor plat tidak mengikut peraturan dan tidak memakai penutup rantai yang mana enam saman telah dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan mementingkan ciri-ciri keselamatan semasa berada di jalan raya terutama melibatkan nyawa sendiri dan orang lain.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menularkan isu ini kerana ia boleh menimbulkan kegusaran awam dan boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Sebelum ini, sebuah video berdurasi satu minit tujuh saat telah dimuat naik di Facebook mengenai seorang lelaki ditahan di lampu isyarat dan kebanyakan pengguna laman sosial itu beranggapan ia membabitkan kes penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan: