Jadi tokan dadah seawal umur 13 tahun

Mohd Kamaruddin
Mohd Kamaruddin
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 2,142 individu berumur 18 tahun ke bawah ditahan melibatkan pengedaran, memiliki dan penyalahgunaan dadah sepanjang tempoh antara Januari sehingga September lalu.

Lebih membimbangkan tangkapan juga melibatkan remaja seawal usia 13 tahun yang turut terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din berkata, kesemua tangkapan terbabit dijalankan atas kesalahan membekal, memiliki dadah selain saringan ujian air kencing yang dijalankan.

"Statistik menunjukkan bilangan bagi suspek berumur 13 tahun ke bawah yang ditahan atas kesalahan mengedar dan memiliki dadah seramai 19 individu dan tujuh individu positif saringan air kencing.

"Selain itu, tangkapan melibatkan remaja berumur antara 14 hingga 18 tahun melibatkan kesalahan mengedar (255), memiliki (835) dan positif dadah (1,033)," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, bilangan remaja ditahan berkait kesalahan dadah melibatkan umur 13 tahun ke bawah mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu.

"Statistik pada 2022 melibatkan remaja berumur 13 tahun ke bawah bagi kesalahan mengedar seramai tiga individu, memiliki (11) dan positif dadah (10) manakala jumlah tangkapan melibatkan remaja berumur 14 hingga 18 tahun mencatatkan jumlah tangkapan sebanyak 2,880 individu.

Statistik tangkapan melibatkan remaja berumur 18 tahun dan ke bawah melibatkan tahun 2022 dan 2023.
Statistik tangkapan melibatkan remaja berumur 18 tahun dan ke bawah melibatkan tahun 2022 dan 2023.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua tangkapan ini dijalankan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A (2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12 (2), Seksyen 6, Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983," katanya.

Mohd Kamaruddin berkata, JSJN menjalankan penguatkuasaan serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah dadah dalam kalangan remaja sekolah dan golongan belia sekiranya disabitkan kesalahan.

"Selain itu juga dalam membantu pihak sekolah mengawal tingkah laku pelajar, PDRM juga telah menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada Pegawai Kanan Polis atau Pegawai Rendah Polis di setiap sekolah.

"Sekiranya terdapat murid atau pelajar bermasalah, pihak sekolah hendaklah melaporkan perkara tersebut kepada PPS untuk diambil tindakan seperti sesi kaunseling," katanya.

Mohd Kamaruddin berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memastikan anak mereka tidak terlibat dengan kancah penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"Mereka hendaklah sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta perlu mengambil tahu dengan siapa anak–anak mereka berkawan.

"Pergaulan bebas yang tidak terkawal boleh menyebabkan golongan remaja dan belia ini terlibat dengan aktiviti yang boleh merosakkan masa depan mereka sendiri," katanya.

Tambahnya, peranan sama harus dimainkan pihak berkaitan dalam memastikan remaja yang pernah terlibat dalam kancah penyalahgunaan dadah ini tidak terjebak semula.

"Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut memainkan peranan penting bagi memastikan golongan remaja dan belia tidak terlibat semula dengan gejala penyalahgunaan dadah dengan menjalankan sesi kaunseling dan pemantauan secara berkala," katanya.

Seramai 13 individu termasuk empat remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan memiliki dadah dalam satu kejadian 12 Februari lepas. - Foto Bernama
Seramai 13 individu termasuk empat remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan memiliki dadah dalam satu kejadian 12 Februari lepas. - Foto Bernama

Sinar Harian pada Khamis mendedahkan murid seawal usia sembilan tahun sudah menjadi penagih dadah.

Dapatan ini adalah hasil kajian dijalankan AADK yang mendapati remaja berusia 12 hingga 16 tahun adalah tempoh perkembangan yang signifikan peralihan risiko penyalahgunaan bahan terlarang tersebut.

Ketua Pengarahnya, Sutekno Ahmad Belon berkata, kajian prevalens penagihan dadah dan bahan dalam kalangan belia di Malaysia pada 2022 mendapati umur permulaan mengambil dadah atau majoriti yang mengaku mengambil dadah pada usia antara 15 hingga 20 tahun.