Penunggang motosikal maut rempuh lori berhenti di lampu isyarat

Penunggang motosikal maut langgar belakang lori. Foto: Ihsan pembaca
Penunggang motosikal maut langgar belakang lori. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

TAMPIN - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar bahagian belakang lori yang berhenti di lampu isyarat Kilometer 25, Jalan Tampin-Gemas di pekan Gemencheh di sini pada Ahad.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, N Suresh, 32, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 42 tahun manakala mangsa pula menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika pemandu lori yang menghala ke arah Gemas berhenti di lampu isyarat merah dan tiba tiba telah dilanggar dari arah belakang oleh motosikal ditunggang mangsa.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Menurutnya, mayatnya telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Tampin untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan berkenaan diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau boleh menghubungi talian 06-4412502 atau 06-4431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya

Artikel Berkaitan: