Ekonomi Gaza mengecut lebih 80 peratus

Perang Gaza memberi impak malapetaka besar terhadap infrastruktur di wilayah itu. - Foto: AFP
Perang Gaza memberi impak malapetaka besar terhadap infrastruktur di wilayah itu. - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Perang Gaza telah memberi impak malapetaka terhadap infrastruktur di wilayah itu, selain mengakibatkan ekonomi enklaf tersebut menguncup lebih 80 peratus pada suku keempat 2023.

“Hampir kesemua aktiviti ekonomi di Gaza tidak lagi beroperasi. Ekonomi di wilayah itu berdepan kejutan paling besar pernah direkodkan dalam sejarah sejak konflik Hamas-Zionis bermula pada 7 Oktober lalu,” jelas laporan Bank Dunia.

Data tersebut berdasarkan anggaran awal diperoleh daripada Biro Perangkaan Pusat Palestin (PCBS) yang mendapati Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Gaza merosot daripada kira-kira AS$670 juta (RM3.2 bilion) kepada hanya AS$90 juta (RM430 juta) untuk tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu.

Menurut Bank Dunia, angka itu bersamaan penurunan tahunan sebanyak 24 peratus.

“Hampir setiap penduduk Gaza akan hidup di bawah garis kemiskinan untuk tempoh jangka pendek,” ujarnya lagi.

Di tengah-tengah perang yang tiada kesudahan di enklaf itu, Bank Dunia mengumumkan geran berjumlah AS$30 juta (RM143 juta).

“Geran ini akan menyumbang kepada sektor pendidikan bagi memastikan kanak-kanak tidak terlepas pendidikan penting,” jelasnya. - Agensi

Artikel Berkaitan: