Ekonomi Malaysia diunjur berkembang empat peratus tahun ini

Abdul Rasheed pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga di Sasana Kijang, hari ini. - Foto Bernama
Abdul Rasheed pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga di Sasana Kijang, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

EKONOMI Malaysia diunjur mencatatkan pertumbuhan 4.0 peratus tahun ini dan antara 4.0-5.0 peratus pada 2024, selepas mengambil kira petunjuk kukuh ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, unjuran itu adalah berasaskan kepada permintaan kukuh terhadap kereta penumpang serta peningkatan penggunaan swasta sambil menambah data ekonomi Malaysia juga menunjukkan daya tahannya dalam menghadapi kejutan luaran yang berterusan.

"Sebagai sebuah ekonomi yang pelbagai, Malaysia dijangka dapat mencapai pertumbuhan yang disasarkan untuk tahun depan," katanya pada sidang media selepas mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi Suku Ketiga 2023, di sini, hari ini.

Abdul Rasheed juga berkata, bahawa bank pusat telah mempertimbangkan pengenaan cukai perkhidmatan lapan peratus dalam Belanjawan 2024, yang boleh mempengaruhi penggunaan awam.

"Cukai perkhidmatan tahun depan mungkin membawa sedikit impak dari segi penggunaan, tetapi kami telah mengambil kira semua pengumuman yang dibuat dalam Belanjawan 2024 ke dalam unjuran pertumbuhan kami bagi tahun depan," katanya.

Ringgit

Pada Suku Ketiga 2023 dan setakat tahun ini, ringgit mencatatkan penurunan apabila dolar AS kembali mengukuh susulan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

Menyentuh mengenai penurunan ringgit berbanding dolar AS itu, Abdul Rasheed berkata, BNM sentiasa memacu penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan penyelesaian untuk meredakan tekanan terhadap ringgit.

Artikel Berkaitan:

"Untuk meredakan tekanan terhadap ringgit, kami telah memulakan penyelesaian dalam mata wang tempatan, sebagai contoh, dalam perjanjian yang kita ada dengan China, 25 peratus daripada perdagangan adalah dalam mata wang tempatan," katanya sambil menegaskan bahawa kadar pertukaran semasa antara ringgit dan dolar AS tidak mencerminkan keadaan ekonomi Malaysia yang kukuh dan berdaya tahan.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai sistem perbankan yang kukuh, pasaran kewangan teguh dan dasar kerajaan untuk menarik pelabur, yang kesemuanya akan menyediakan lebih banyak sokongan terhadap ringgit.

"Oleh itu, pengukuhan berterusan dolar AS tidak dijangka menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia.

"Ketidaktentuan pasaran kewangan global dijangka mereda, tanpa mengambil kira sebarang perkembangan tidak dijangka seperti ketegangan geopolitik, apabila pasaran kewangan menjangkakan kadar dasar AS akan diturunkan tahun depan.

"Ini sepatutnya mengurangkan kekuatan dolar AS dan seterusnya meredakan tekanan terhadap ringgit,” kata Abdul Rasheed.

Mengulas mengenai impak ketegangan geopolitik di Asia Barat ketika ini, beliau berkata, peperangan yang berlaku sekarang akan membawa kepada kemeruapan pasaran kewangan, namun pendedahan Malaysia kepada pasaran itu adalah minimum.

Bank Digital

Sementara itu, Abdul Rasheed memberi jaminan bahawa bank digital tidak akan membawa sebarang kesan negatif ke atas sektor kewangan kerana ia meningkatkan persaingan dan memberi manfaat kepada pengguna.

"Bagi bank digital, tumpuan mereka adalah kepada segmen ekonomi yang tidak disediakan perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan perbankan.

"Ada kawasan yang mana institusi kewangan sedia ada kita tidak menyediakan perkhidmatan perbankan, jadi bank-bank ini akan masuk untuk menyediakan khidmat kepada pasaran ini. Ia akan melengkapkan semua perkhidmatan dan produk yang disediakan oleh bank sedia ada," katanya.

Beliau berkata, pada September lepas, GX Bank merupakan bank digital pertama yang menerima kelulusan untuk memulakan operasi dan ada empat lagi bank digital yang akan menyusul.

"Juga tiada sekatan bagi bank sedia ada untuk menumpukan kepada pendigitalan kerana ini akan meningkatkan lagi kecekapan dan daya saing mereka," katanya. - Bernama