Lanjut tempoh kontrak bantu kelancaran proses mahkamah - MTUC

Melanjutkan tempoh kontrak bagi pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) secara tidak langsung dapat memastikan kelancaran proses mahkamah. (Gambar kecil: Mohd Effendy)
Melanjutkan tempoh kontrak bagi pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) secara tidak langsung dapat memastikan kelancaran proses mahkamah. (Gambar kecil: Mohd Effendy)
A
A
A

SHAH ALAM - Melanjutkan tempoh kontrak bagi pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) secara tidak langsung dapat memastikan kelancaran proses mahkamah.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, dalam konteks pergerakan buruh negara, kesatuan melihat perkara itu sebagai satu usaha baik dalam memastikan kes-kes pertikaian dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

“Tempoh masa untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian ini sering kali menjadi isu utama bagi pekerja.

“Dengan penambahbaikan tempoh kontrak dari dua tahun kepada empat tahun, dapat menjadikan kes-kes ini lebih cepat diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memaklumkan, tempoh pelantikan pengerusi MPM kini ditambah kepada empat tahun berbanding dua tahun sebelum ini.

Menurutnya, langkah itu adalah pembaharuan ke arah jaminan perkhidmatan dan bagi memastikan proses mahkamah teratur dan cepat.

Mengulas mengenai usaha yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, Mohd Effendy berkata, ia merupakan sejarah bagi Kementerian Sumber Manusia (KSM) kerana telah meningkatkan tahap jaminan pekerjaan bagi pengerusi MPM.

“Dengan konsep ‘3K’ yang diterapkan oleh YB Menteri iaitu kebajikan pekerja, kemahiran dan keberhasilan, ia selari dengan tindakan penambahbaikan tempoh kontrak tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Ia harus berterusan agar dapat mengoptimumkan perkhidmatan, mengekalkan kesinambungan dalam membimbing dan pengurusan tugas lebih efisien.

“Secara tidak langsung akan menggalakkan lebih ramai potensi Peguam Perhubungan Perusahaan untuk menggalas tanggungjawab serta kerjaya sebagai pengerusi MPM,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Effendy berkata, MTUC juga menyambut baik usaha KSM untuk memperkasakan MPM dalam menambah baik Sistem Perekodan Digital yang berupaya memudahkan urusan di mahkamah berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa pihak kesatuan itu menzahirkan ucapan tahniah kepada kesemua pengerusi MPM yang telah disenaraikan.

“Selamat maju jaya dalam perkhidmatan ini. Tahniah juga kepada KSM yang tidak henti melahirkan idea dalam agenda mereformasikan perburuhan negara,” kata Mohd Effendy.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!