Pelaku boleh dituduh membunuh jika kematian akibat pukulan

Shahul Hamid (kiri), Laporan Sinar Harian
Shahul Hamid (kiri), Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Individu boleh dituduh membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika mengakibatkan kematian seseorang dengan pukulan dan sebagainya berpandukan kepada laporan forensik.

Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, perkara itu selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi membolehkan pelaku dihakimi seadilnya selain menyedarkan orang awam tentang jenayah apabila bertindak sendiri.

"Hakikatnya orang awam tidak mempunyai hak untuk menghukum individu yang melakukan kesalahan.

"Mana-mana pihak yang menangkap individu melakukan apa-apa jenayah, perlu terus menyerahkan pelaku kepada pihak berkuasa dan membuat laporan polis," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Selasa, seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dipukul hingga maut.

Kejadian tragis itu berlaku selepas lelaki berusia 42 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga terbabit dalam kemalangan dengan penghantar makanan.

Sejurus kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Shahul Hamid berkata, tindakan kumpulan terbabit sangat tidak wajar, kejam dan melampaui batas kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, masyarakat perlu ingat undang-undang bukan di tangan sendiri malah hanya mahkamah yang boleh menentukan.

"Orang awam yang ingin membantu, bantulah bawa ke balai polis bukan ambil tindakan sendiri yang membawa kepada cedera dan kematian, sudah jadi kes lain dari kemalangan kepada pembunuhan.

"Janganlah diturut perasaan amarah kerana ia akan menyusahkan banyak pihak, tindakan dibuat tanpa berfikir panjang dan hilang timbang rasa maka itulah yang terjadi," jelasnya.