Lelaki maut dipukul, didakwa lari selepas langgar penghantar makanan

Mangsa didapati meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan yang menjalankan pemeriksaan.
Mangsa didapati meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan yang menjalankan pemeriksaan.
A
A
A

KAJANG - Tindakan seorang lelaki didakwa melarikan diri selepas dipercayai melanggar penghantar makanan berakhir tragedi apabila mangsa dipukul sekumpulan individu sehingga maut dalam kejadian di kawasan Taman Pelangi Dua di sini pada Selasa.

Dalam kejadian terbabit, Proton Saga dipandu mangsa berumur 42 tahun itu terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan sebelum mangsa ditarik keluar orang awam dan dipukul serta tangan diikat hingga maut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, maklumat awal berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 9.20 malam.

"Hasil siasatan awal di lokasi kejadian, mendapati sebuah kenderaan jenis Proton Saga dipercayai telah terbabas sebelum melanggar pagar kawasan perumahan terbabit.

"Mangsa yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan didapati berada dalam keadaan terbaring di atas jalan selain terdapat kesan pergelangan tangan seperti diikat," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan yang terlibat

"Siasatan kemudiannya dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat berkaitan kejadian.

"Siasatan berdasarkan keterangan saksi mendapati mangsa ditarik keluar daripada dalam kenderaannya oleh sekumpulan individu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, saksi awam turut mendakwa mangsa turut dipukul serta kedua tangan mangsa diikat dan dibaringkan atas jalan raya di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun kesemua individu terlibat yang memperlakukan mangsa sedemikian telah beredar sebaik sahaja pihak polis tiba di lokasi kejadian.

"Siasatan kemudian dijalankan oleh Unit Forensik Bukit Aman dan mengambil beberapa sampel terdiri daripada kesan darah dan cap jari, selain itu turut dirampas dua utas gumpalan tali untuk membantu siasatan," katanya.

Mohd Zaid berkata, susulan maklumat yang diperoleh kemudiannya membawa kepada tangkapan lima lelaki tempatan di sekitar kawasan Semenyih dan Beranang dipercayai terlibat dalam kejadian.

"Kesemua suspek berumur 22 hingga 52 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang kira-kira jam 2.05 pagi.

"Suspek yang diberkas itu kini direman lima hari untuk siasatan lanjut berkaitan kejadian," katanya.

Tambahnya, siasatan berhubung kejadian dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Asisten Superintenden Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang.

"Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Inspektor Ammar Tahir dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 018-2194013 bagi membantu siasatan," katanya.