Bayaran insentif awal beri kelegaan buat penjawat awam - Cuepacs

Kebanyakan ibu bapa memanfaatkan cuti sekolah dengan membawa anak-anak membeli kelengkapan sekolah seperti baju, seluar, kasut dan beg. - Gambar hiasan
Kebanyakan ibu bapa memanfaatkan cuti sekolah dengan membawa anak-anak membeli kelengkapan sekolah seperti baju, seluar, kasut dan beg. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 yang diterima hari ini memberi kelegaan kepada penjawat awam terutamanya dalam membuat persiapan persekolahan dan Ramadan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat, yang turut berterima kasih kepada kerajaan,berkata bagaimanapun, penjawat awam perlu berhemat dalam berbelanja dan mengutamakan keperluan.

"Jumlah tersebut jika kita lihat memberi sedikit kelegaan bagi perbelanjaan menyediakan kelengkapan persekolahan dan persiapan Ramadan.

"Berbelanjalah mengikut bentuk acuan masing-masing dan jangan dalam bentuk acuan yang tidak mampu kerana kita sendiri yang akan merana jika perbelanjaan tidak disusun dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau turut menyeru semua kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun untuk mengambil langkah sama memberikan bayaran insentif awal bagi menjaga kebajikan pekerja.

Adnan dalam pada itu memohon supaya kerajaan menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam yang pada masa ini dilihat tidak mampu menampung beban perbelanjaan susulan peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara kini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Februari lepas dilapor berkata, bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam, dibayar sekali gus pada 23 Februari.

Selain itu, RM1,000 turut disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Datuk Sharuddin Omar ketika dihubungi Bernama turut berterima kasih dengan bantuan yang disalurkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan ini secara tidak langsung meringankan beban pesara selain bekas tentera yang tidak berpencen. Bekas tentera ini kebiasaannya memerlukan kos rawatan (perubatan) yang tinggi, jadi memerlukan duit yang banyak.

"Bantuan seperti ini bagi saya dapat membantu meringankan kos rawatan mereka,” katanya.

Bayaran insentif awal tampung keperluan sekolah, puasa dan raya

Dalam pada itu Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 yang diterima penjawat awam pada Jumaat, disifatkan tepat pada masanya dan mengubat keresahan kebanyakan penjawat awam dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak, serta keperluan menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Rata-rata kakitangan awam yang ditemui Bernama menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada kerajaan atas pemberian itu, yang dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Di KEDAH, seorang anggota polis, Isma Ismail, 42, dari Mergong, Alor Setar berkata, pemberian itu, akan digunakan untuk menyediakan keperluan persekolahan tiga anaknya di sekolah rendah, yang berusia antara sembilan hingga 12 tahun.

"Tahun ini, kalau ikutkan memang pening fikirkan pelbagai kos perbelanjaan yang perlu dikeluarkan. Awal bulan Mac sudah mula sesi persekolahan, selepas itu terus bersambung dengan bulan Ramadan dan kemudian Syawal pula,” katanya.

Di PAHANG, seorang pendidik Siti Mazura Shaikh Mustafa, 44, berhasrat menggunakan sebahagian wang itu untuk membeli cenderahati, sebagai galakan kepada muridnya yang bakal melangkah ke alam persekolahan.

"Selain untuk persiapan raya nanti, saya akan gunakan wang ini untuk membeli hadiah kepada murid supaya mereka bersemangat dan ceria untuk datang ke sekolah. Pemberian insentif ini sememangnya menggembirakan saya dan tidak salah saya juga kongsikan perasaan itu dengan anak-anak murid,” katanya.

Bagi Syafiq Ismail, 29, beliau berterima kasih kepada kerajaan di atas inisiatif berkenaan dan pemberian itu cukup membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap keperluan rakyat, yang berdepan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

"Sepanjang saya berkhidmat sebagai penjawat awam hampir 10 tahun, rasanya ini kali pertama insentif dengan jumlah yang banyak diberikan sekali gus, dan bantuan ini memang tepat pada masanya serta membantu kita buat pelbagai persiapan terutama berkaitan anak,” katanya.

Di SARAWAK, Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Umum Sarawak Nur Farlina Abdullah, 39, yang juga seorang ibu tunggal berkata, bayaran insentif awal itu, dapat membantu membiayai keperluan lima anaknya yang masih bersekolah.

Pada masa yang sama, beliau tetap akan berjimat cermat dengan mengambil kira perjalanan tahun ini yang masih panjang.

Di SABAH, Penolong Akauntan Angie Everlyn Amau, 41, dari Berunggis, Tuaran berkata, insentif itu, dapat membantunya menambah jumlah serta kualiti kelengkapan sekolah terutama baju dan kasut untuk empat anaknya.

"Selalunya barang kita pilih paling murah dan tidak beli banyak kerana bajet, tetapi barang murah ini tidak sampai enam bulan rosak, kerana kualiti rendah dan pakai banyak kali. Ada bajet lebih, boleh beli barang lebih tahan dan banyak macam kasut beli tiga pasang ganti-ganti pakai, tidak cepat rosak,” katanya.

Di MELAKA, seorang guru tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Norshamila Che Sabu yang mengajar di Tambak Sebelong Telok Mas berkata pemberian itu, secara langsung akan mengembirakan anak-anak yang akan memasuki persekolahan, terutama murid darjah satu atau prasekolah.

"Saya sejujurnya memang tidak sabar dengan pemberian tersebut, kerana pertembungan antara cuti sekolah, pembukaan sekolah dan puasa memang memerlukan perbelanjaan yang besar, dan pemberian ini dapat menampung sedikit sebanyak terutama dalam keadaan ekononi yang sangat mencabar,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28