Pas minta MB Selangor tambah peruntukan ganti guru KAFA cuti bersalin

Mohamed Sukri
Mohamed Sukri
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor memohon pertimbangan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menambah peruntukan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyediakan guru ganti bagi guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) yang cuti bersalin.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, guru ganti sementara itu penting bagi mengurangkan beban guru KAFA sedia ada dan sekolah tidak perlu bersusah payah mencari dana untuk guru ganti.

"Pada masa ini, pihak pentadbiran sekolah terpaksa membuat jadual waktu giliran menggunakan guru sedia ada. Jika mampu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau pengurusan sekolah buat lantikan guru dan bayar mengikut jam atau hari.

"Inilah yang dihadapi guru KAFA di Selangor jika ada dalam kalangan guru yang cuti bersalin," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, tahun lepas Menteri Besar mengumumkan tambahan rizab negeri sebanyak RM631.48 juta, menjadikan jumlah RM3.71 bilion setakat 9 November tahun lalu.

Menurutnya, Selangor juga mencatat lebihan kewangan sebanyak RM427.25 juta bagi tahun 2023.

"Mungkin tambahan rizab negeri yang telah diumumkan itu boleh diperuntukkan sedikit untuk membayar elaun guru ganti.

"Tidaklah besar mana jumlah guru bersalin yang bercuti dalam satu sesi persekolahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, JAIS mengeluarkan surat berhubung tiada lantikan pengganti guru KAFA bersalin berkuat kuasa serta-merta.

Surat bertarikh 14 Februari itu turut menyatakan permohonan guru KAFA cuti bersalin 60 hari perlu dipanjangkan kepada jabatan untuk kelulusan.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berharap JAIS dapat menyemak semula ketetapan dikeluarkan dan berbincang dengan pihak kerajaan negeri Selangor bagi memudahkan urusan guru KAFA di negeri ini.

"Kebajikan guru agama mesti menjadi sebahagian keutamaan kerajaan negeri dan tidak sepatutnya disusahkan dan diletakkan keperluan mereka serendah ini.

"Pendidikan agama tidak boleh lumpuh dan lemah di negeri maju dan berpendapatan tinggi seperti di Selangor," jelas beliau.