‘Sembang berapi tapi kentut berasap’ - Pemuda Pas

Mohd Hanif
Mohd Hanif
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dikatakan 'hari ini cakap lain, esok cakap lain' mendapat perhatian daripada perwakilan Muktamar Pas Ke-69 kali ini.

Wakil Dewan Pemuda Pas Pusat, Mohd Hanif Jamaluddin dalam ucapan perbahasannya mempersoalkan kenyataan itu dan menyifatkan ‘pihak sana’ yang bersikap sedemikian.

“Saya nak tanya, siapakah sebenarnya hari ini cakap lain, esok cakap lain? Siapa yang bersikap munafik dalam ucapan dan pelaksanaan mereka? Beritahu lawan BN, tapi kemudiannya berpelukan.

“Mereka kata nak turunkan harga minyak, tapi sampai sekarang tak turun. Malah, ada menteri yang menyalahkan rakyat makan di luar.

“Inilah sifat mereka yang ada hari ini. Sembang berapi tapi kentut berasap. Tidak memberikan impak langsung kepada negara,” katanya ketika berucap di Ideal Convention Center (IDCC), di sini pada Sabtu.

Nik Nazmi dalam hantaran di Facebook menyatakan Abdul Hadi dilihat tidak konsisten dalam tindakannya apabila mengarahkan ahli parti itu menarik undi bukan Islam semasa ucapan dasarnya pada Jumaat.

Beliau turut mendakwa Ahli Parlimen Marang itu sedang menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah dilabel sebagai perosak negara.

Sementara itu, Mohd Hanif turut menyatakan kerajaan sekarang tidak adil kerana tidak memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan apa ini? Langsung tidak memberikan peruntukan sedangkan ada diantara penyokong dan pendukung mereka berada di kawasan tersebut dan semestinya tidak mendapat kenikmatannya.

“Jadi, saya ajak penyokong dan pendukung yang dizalimi dengan sifat ketidakadilan ini, beri sokongan kepada PN (Perikatan Nasional) dalam PRU16 akan datang.

“Saya juga nak ingatkan, kita (kerajaan pimpinan Pas) tidak menjadi sedemikian rupa kerana anak muda sangat memandang berat perkara ini,” katanya.