Jangan ambil ringan ketirisan diesel

Semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha menangani isu penyeludupan diesel. Foto 123RF
Semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha menangani isu penyeludupan diesel. Foto 123RF
A
A
A

ISU ketirisan diesel yang diseludup ke luar negara tidak harus diambil ringan dan perlu ditangani segera oleh pihak kerajaan.

Ini kerana, jenayah penyeludupan bahan api itu adalah penyakit yang boleh merosakkan ekonomi dan merugikan negara jika tidak dikawal.

Pada Khamis, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan, negara mengalami kerugian sebanyak RM4.5 juta disebabkan ketirisan 3 juta liter diesel seludup ke luar negara setiap hari.

Katanya, jumlah itu diperoleh hasil daripada kajian yang diterbitkan di peringkat antarabangsa menerusi Majlis Perniagaan EU-Asean.

"Laporan itu menyebut bahawa 3 juta liter diesel diseludup keluar daripada Malaysia setiap hari dan sebanyak RM4.5 juta sehari kerugian.

"Walaupun tidak disebut dalam kajian yang dilakukan tetapi antara isu penyeludupan di Malaysia ini adalah melibatkan diesel RON95," katanya

Menurut Armizan, berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah Ops Tiris 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan pada 2023, sebanyak 15,927 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara merangkumi stesen minyak, pemborong, pengilang, kuari, pos kawalan dan lain-lain premis.

"Sejumlah 877 kes termasuk 386 kes serahan agensi telah dihasilkan dengan kuantiti rampasan sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel bernilai RM14.2 juta, manakala nilai rampasan selain diesel berjumlah RM42.1 juta," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Permintaan tinggi dan harga rendah diesel di Malaysia menyebabkan ada dalam kalangan rakyat kita sanggup menjual kepada negara jiran sehingga memberi kesan kepada rakyat di negara ini.

Jenayah itu seolah-olah merampas hak yang sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh golongan memerlukan di negara ini.

Oleh itu, semua pihak perlu berusaha dan bekerjasama dalam usaha menangani isu penyeludupan diesel, termasuk membuat aduan kepada pihak berkuasa.