Syarikat swasta rugi RM464,000, e-mel diceroboh

Sebuah syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM464,400 selepas e-mel syarikat tersebut diceroboh pihak tidak bertanggungjawab. Gambar hiasan
Sebuah syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM464,400 selepas e-mel syarikat tersebut diceroboh pihak tidak bertanggungjawab. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah syarikat swasta di sini mengalami kerugian berjumlah RM464,400 selepas e-mel perniagaan milik syarikat tersebut diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, syarikat itu pada mulanya menerima e-mel daripada syarikat pembekal yang mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun yang lain berbanding akaun yang biasa digunakan.

“Pada pertengahan Februari, pihak syarikat telah berurusan dengan pembekal melalui e-mel syarikat bagi pembelian minyak sawit bernilai RM464,400 dan kemudian diarahkan untuk membuat pembayaran ke satu akaun bank yang didakwa sebagai akaun kedua syarikat pembekal tersebut.

“Tanpa sebarang syak dan keraguan, pihak syarikat telah membuat pindahan wang ke akaun yang diarahkan dan setelah bayaran dijelaskan, pengadu telah menerima lagi e-mel daripada pembekal berkenaan yang menawarkan potongan harga bagi pembelian seterusnya," katanya.

Kumar berkata, pengadu yang mula rasa curiga telah membuat semakan e-mel dan juga menghubungi pembekal untuk pengesahan mendapati pembekal sebenar tidak ada menghantar e-mel mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun yang dinyatakan, malah mereka juga belum menerima bayaran atas tempahan yang dibuat.

Justeru, katanya, satu laporan polis berhubung perkara berkenaan telah dibuat oleh seorang wanita warga tempatan berusia 44 tahun yang juga merupakan eksekutif akaun di syarikat swasta berkenaan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 kanun Keseksaan.

"Polis Johor menasihati orang ramai dan syarikat agar lebih berhati-hati dalam urusan sesuatu pembayaran terutama sekiranya menerima e-mel yang mengarahkan bayaran dibuat ke akaun yang lain selain daripada yang biasa digunakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!