Jalan Petaling digempur, barangan tiruan RM300,000 disita

Pelbagai barangan tiruan dirampas semasa operasi dilakukan di Jalan Petaling.
Pelbagai barangan tiruan dirampas semasa operasi dilakukan di Jalan Petaling.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jalan Petaling yang menjadi lokasi panas penjualan barangan tiruan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dalam Op Putra 4.0 pada Rabu.

Operasi turut disertai pihak KPDN Putrajaya dan Selangor selain Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta wakil pemilik cap dagang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, serbuan dijalankan melibatkan 12 stor yang dijadikan tempat penyimpanan barang dipercayai tiruan terdiri daripada jam tangan, kasut, beg tangan dan dompet.

"Serbuan dijalankan hasil risikan serta laporan dikeluarkan oleh United States Trade Representative (USTR) berkaitan kegiatan yang dijalankan di sini.

Zakaria (kanan) bersama Ariffin (dua dari kiri) ketika Majlis Pelupusan Mega di Kompleks Sentral Segambut pada Khamis.
Zakaria (kanan) bersama Ariffin (dua dari kiri) ketika Majlis Pelupusan Mega di Kompleks Sentral Segambut pada Khamis.

"Serbuan dijalankan telah menyita 6,250 barang dipercayai tiruan melibatkan beg, dompet, beg tangan dan jam tangan berjenama dianggarkan bernilai RM300,000," katanya ketika sidang akhbar di Majlis Pelupusan Mega di Kompleks Sentral Segambut di sinipada Khamis.

Katanya, siasatan mendapati kesemua barangan ini dibawa dari luar negara sebelum dijual di sini.

"Sasaran pembeli adalah kalangan warga tempatan serta pelancong warga asing yang membeli -belah di kawasan ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, barangan ini turut dijual untuk pasaran sempena sambutan perayaan Aidilfitri," katanya.

Menurutnya, seramai 10 warga asing didapati gagal mengemukakan maklumat pengenalan diri turut ditahan.

"Selain itu, enam notis kompaun kerana melanggar akta berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut dikeluarkan DBKL.

Terdapat premis yang dikunci dipercayai untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Terdapat premis yang dikunci dipercayai untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

"Setakat ini, sebanyak 135 kes direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 membabitkan 100,000 barang bernilai RM4 juta serta 30 individu ditahan setakat ini atas kesalahan berkaitan dengan harta intelek sepanjang tahun lalu," katanya.

Ariffin berkata, aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 akan terus dipertingkatkan dalam membanteras penjualan barangan tiruan ini.

"Semua pihak yang terbabit dalam kegiatan ini akan turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"Kerjasama berterusan terutamanya daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar amat penting dalam membanteras aktiviti pengedaran serta penjualan barangan tiruan ini," katanya.

Dalam pada itu, KPDN Kuala Lumpur melupuskan 19,790 barangan bernilai RM5.2 juta di Kompleks Sentral Segambut di sini.

Anggota KPDN Kuala Lumpur sedang memecahkan sebuah premis dipercayai menyimpan pelbagai barangan tiruan dalam operasi yang dijalankan pada Rabu.
Anggota KPDN Kuala Lumpur sedang memecahkan sebuah premis dipercayai menyimpan pelbagai barangan tiruan dalam operasi yang dijalankan pada Rabu.

Timbalan Ketua Setiausaha KPDN (Pendayaupayaan Pengguna), Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua barangan ini adalah hasil rampasan yang dijalankan berkaitan pelanggaran undang-undang diperuntukkan setelah selesai menjalani proses mahkamah dan mendapat kebenaran untuk dilupuskan.

"Pelupusan melibatkan pelbagai barangan rampasan itu merangkumi pakaian seperti baju dan seluar sukan, kasut, selipar, jam tangan, beg tangan, aksesori telefon bimbit, alat ganti kenderaan, minyak wangi dan minuman keras.

"Kesemua barangan terbabit melibatkan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Kawalan Harga dan Anti- Pencatutan 2011, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti- piramid dan Akta Pelindungan Pengguna 1999," katanya.