Hujan tak halang ribuan rakyat beri penghormatan terakhir kepada Abdul Taib

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengaminkan bacaan doa untuk jenazah Abdul Taib pada Istiadat Penghormatan negeri di DUN Sarawak pada Khamis. Foto Bernama
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengaminkan bacaan doa untuk jenazah Abdul Taib pada Istiadat Penghormatan negeri di DUN Sarawak pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Cuaca hujan di bandar raya ini tidak menghalang ribuan rakyat Malaysia khususnya anak Bumi Kenyalang membanjiri Atrium Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi menghadiri Istiadat Penghormatan Negeri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.

Menggelarkan Allahyarham sebagai tokoh legenda negeri ini, seorang guru, Zaahara Mahlidi, 55, yang berasal dari Bintulu tidak melepaskan peluang memberi penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Menteri Sarawak bersama suami.

"Kebetulan saya datang ke Kuching untuk melawat keluarga dan pagi semalam selepas mendapat khabar Tun (Abdul Taib) meninggal, terus saya bertekad untuk datang (ke Atrium Dewan Undangan Negeri Sarawak) meskipun tidak pasti dibenarkan masuk atau tidak.

"Sejak kecil lagi beliau (Abdul Taib) sememangnya menjadi idola saya kerana kebijaksanaannya memerintah Sarawak... ini kali terakhir saya dapat melihat arwah,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Sambil menahan sebak, Zaahara yang berbangsa Melayu-Melanau berkata, beliau berpeluang melihat bapa pemodenan Sarawak itu secara dekat menerusi satu majlis yang dihadiri pemimpin itu ketika bergelar Ketua Menteri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Melanau Kuching, Faridah Osman berkata, pemergian Abdul Taib yang merupakan anak jati Melanau adalah kehilangan besar buat komuniti berkenaan.

Menurutnya, Allahyarham menjadi pemacu dalam menyatupadukan rakyat negeri ini yang kaya dengan pelbagai kaum dan budaya.

"Belia banyak berjasa kepada Sarawak dan daripada penglibatan saya dalam persatuan, setiap kali kami menganjurkan acara negeri, beliau akan memberitahu kami untuk mengutamakan hospitaliti Sarawak...Saya sentiasa ingat pesanan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba kira-kira di Atrium itu pada 7.50 pagi tadi dari kediamannya di Demak Jaya, Jalan Bako.

Sesi bagi istiadat berkenaan dibuka kepada orang ramai mulai 8 pagi hingga 11.30 pagi, manakala bagi pemimpin peringkat negeri dan Persekutuan serta ketua-ketua jabatan, ia bermula 10 pagi hingga 11.30 pagi.

Jenazah Allahyarham kemudian akan disolatkan sekali lagi pada 11.30 pagi di Masjid Demak, Jalan Bako sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Keluarga Abdul Taib yang terletak di dalam kawasan masjid berkenaan.

Abdul Taib, 87, yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi semalam.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun, sekali gus menjadikan beliau ketua menteri yang paling lama berkhidmat di Malaysia. - Bernama