25 dikhuatiri terkorban, lombong haram di Venezuela runtuh

Orang ramai dan ahli keluarga mangsa berkumpul di tebing Sungai Guacara bagi menunggu berita perkembangan terkini tragedi tanah runtuh di lombong emas haram di La Paragua, Bolivar. Foto Agensi
Orang ramai dan ahli keluarga mangsa berkumpul di tebing Sungai Guacara bagi menunggu berita perkembangan terkini tragedi tanah runtuh di lombong emas haram di La Paragua, Bolivar. Foto Agensi
A
A
A

LA PARAGUA - Kira-kira 25 orang maut apabila sebuah lombong haram dekat hutan terpencil di selatan Venezuela, runtuh, kata Datuk Bandar Angostura, Yorgi Arciniega.

Tragedi itu berlaku di lombong 'bulla loca' dekat Bolivar yang mengambil masa tujuh jam perjalanan menaiki bot dari bandar La Paragua.

"Ada yang berkata 25 orang mati dan 15 cedera," kata Arciniega sambil menambah pihaknya belum menerima secara rasmi angka mangsa yang terkorban.

Setakat ini, hospital tempatan di La Paragua mengesahkan sudah menerima 23 mayat mangsa.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital dekat Ciudad Bolivar, empat jam dari La Paragua yang terletak 750 kilometer (km) tenggara ibu kota Caracas.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan Awam, Carlos Perez Ampueda berkata, kemalangan itu membabitkan jumlah mangsa yang ramai.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah mangsa secara khsus tetapi difahamkan, terdapat kira-kira 200 orang dipercayai bekerja di lombong itu.

Susulan kejadian itu, tentera, bomba dan agensi lain bergerak ke kawasan berkenaan melalui udara untuk menilai keadaan.

Artikel Berkaitan:

Pada Disember tahun lalu, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh apabila sebuah lombong di perkampungan Orang Asli Ikabaru dekat wilayah sama runtuh.

Kawasan Bolivar sememangnya terkenal dengan emas, berlian, besi, bauksit, kuarza dan coltan.

Terdapat juga industri lombong haram yang berkembang pesat di negeri itu. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28