Kontraktor tolong sorok hampir RM4 juta dijel setahun

Tindakan seorang kontraktor menolong menyembunyikan wang hampir RM4 juta milik sebuah syarikat beroperasi di Amerika Selatan enam tahun lalu, mengundang padah apabila dia dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu. Gambar hiasan
Tindakan seorang kontraktor menolong menyembunyikan wang hampir RM4 juta milik sebuah syarikat beroperasi di Amerika Selatan enam tahun lalu, mengundang padah apabila dia dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang kontraktor menolong menyembunyikan wang hampir RM4 juta milik sebuah syarikat beroperasi di Amerika Selatan enam tahun lalu, mengundang padah apabila dia dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.

Muhammad Hafiz Abdul Halim, 36, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah, atas tiga pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan, namun pemenjaraan berjalan serentak bermula tarikh dituduh iaitu pada 19 Disember tahun lalu.

Mengikut tiga pertuduhan, dia didakwa menolong menyembunyikan RM3.92 juta kepunyaan sebuah syarikat yang berpengkalan di negara Ecuador sedangkan tertuduh mengetahui wang tersebut bukan miliknya.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank, Wisma Genting, Jalan Sultan Ismail, di sini, pada 6, 8 dan 12 Mac 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Maidzatul Akmal Daud merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana insaf atas perbuatan yang dilakukan.

Menurutnya, Muhammad Hafiz perlu menyara isterinya yang juga seorang suri rumah dan anak kurang upaya termasuk ibu bapa yang uzur.

Artikel Berkaitan:

“Pengakuan bersalah ini telah menjimatkan masa mahkamah selain dia memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu di masa depan.

“Dia akan lebih hati-hati supaya tidak berkongsi maklumat peribadi dengan pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hannif Ahijman memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kes ini melibatkan tiga pertuduhan, dengan nilai kerugian mencecah hampir RM4 juta.

“Ini juga akan memberi peringatan kepada tertuduh dan orang awam agar tidak terlibat atau menyerah akaun kepada pihak ketiga,” katanya.

Mengikut fakta kes, syarikat yang berpengkalan di Ecuador selaku pengadu, telah berurusan dengan sebuah syarikat bertaraf global bagi pembelian alat ganti mesin penjana elektrik menerusi e-mel.

Pengadu telah menerima invois dari seorang individu dikenali Yurina Kobayashi dan menuntut bayaran sebanyak AS$1.02 juta ke akaun bank CIMB milik syarikat tertuduh.

Pengadu berasa tertipu dan mengalami kerugian sebanyak RM3.92 juta selepas syarikat bertaraf global menafikan invois tersebut selain tiada pekerja bernama Yurina.

Siasatan mendapati, wang tersebut dimasukkan ke akaun bank milik tertuduh dan dia pada 7 September 2021.

Dia mengaku telah menyerahkan buku cek, kad bank berserta nombor pin kepada seorang wanita.

Tertuduh diminta mengeluarkan wang secara tunai, sebanyak tiga kali di bank itu untuk diserahkan kepada seorang lelaki dari negara Nigeria.