Syarikat, pengarah didenda RM25,000 jual gula pasir mahal

Mey Eng (kiri) didenda RM5,000 manakala syarikatnya didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, pada Rabu.
Mey Eng (kiri) didenda RM5,000 manakala syarikatnya didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara menjual 70 peket gula pasir melebihi harga kawalan, akhirnya sebuah syarikat dan pengarah syarikat didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.

Syarikat Keluargaku (M) Sdn Bhd dan pengarahnya, Lee Mey Eng, 41, membuat pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan bersama tertuduh didapati menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal 70 peket gula pasir kasar satu kilogram dengan harga RM3.20 sepeket iaitu selain mengikut harga yang ditentukan pengawal.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 11.40 pagi di premis Keluargaku (M) Sdn. Bhd., No. 35, KPAA 1, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Baru di sini, pada 8 Mac tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 57(a) akta sama dan sabit kesalahan syarikat tersebut boleh denda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM250,000, jika sabit kesalahan.

Manakala pengarah syarikat wanita itu pula didakwa mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 57(b) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau keduanya sekali dan bagi kesalahan kedua denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduanya sekali, sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Norhysham Md. Noor menawarkan jaminan masing-masing RM100,000 terhadap syarikat dan RM50,000 terhadap pengarahnya manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM20,000 kepada syarikat manakala pengarahnya didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar

Artikel Berkaitan: