Dagangan awal: Ringgit kukuh berbanding dolar AS, mata wang serantau

Mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. Gambar hiasan 123RF
Mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila data ekonomi AS yang terkini menguatkan lagi harapan kepada pengurangan awal kadar faedah AS, kata penganalisis.

Pada jam 9.05 pagi, ringgit meningkat kepada 4.5955/6005 berbanding dolar AS daripada 4.6055/6125 semasa ditutup pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, data ekonomi AS yang lemah, antaranya kadar pengangguran lebih tinggi daripada jangkaan dan jumlah jualan rumah yang tidak menggalakkan, sewajarnya memberikan impak negatif kepada dolar AS.

"Pada masa ini, isu utama di pasaran pertukaran asing (FX) adalah mereka menetapkan potensi pengurangan kadar sebanyak 150 mata asas (bps) dengan penurunan itu dijangka pada Mac tahun depan.

"Bagaimanapun, Rizab Persekutuan (Fed) AS hanya menunjukkan pengurangan 75 bps mulai separuh kedua tahun ini.

"Ketidakselarasan ini akan ditangani sebaik sahaja kami menerima laporan pekerjaan senarai gaji bukan ladang AS yang pertama pada awal Januari.

"Laporan pekerjaan yang kukuh berupaya melewatkan pengurangan awal kadar Fed, manakala laporan tidak memberangsangkan dijangka mengukuhkan lagi jangkaan kepada pengurangan kadar pada Mac, yang membolehkan dolar AS mencatat kemerosotan ketara,” katanya.

Mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2452/2489 daripada 3.2723/2776 pada Khamis, naik berbanding euro kepada 5.0900/0955 daripada 5.1242/1323 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8537/86032 daripada 5.9892 semasa ditutup semalam.

Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang Asean dengan kenaikan berbanding dolar Singapura kepada 3.4830/4871 daripada 3.4972/5031 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.28/8.30 daripada 8.30/8.31 semasa ditutup semalam.

Mata wang tempatan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 298.0/298.5 daripada 298.6/299.3 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.4050/4282 daripada 13.4979/5260 sebelum ini. - Bernama