Warga Myanmar dalang bekal PATI ditahan

Suspek (depan, kiri) ditahan bersama isterinya, termasuk sekumpulan PATI dalam serbuan di Sungai Petani.
Suspek (depan, kiri) ditahan bersama isterinya, termasuk sekumpulan PATI dalam serbuan di Sungai Petani.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki warga Myanmar dipercayai menjadi dalang membekalkan pekerja asing tidak sah dan pendatang tanpa izin (PATI) untuk kawasan utara negeri ini ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan bersama isterinya, 55, termasuk anak perempuan mereka berusia dua tahun.

Menurutnya, suspek yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditahan bersama 30 lagi warga Myanmar dalam dua serbuan di Taman Ria Jaya dan Taman Batik di Sungai Petani, pada malam Isnin.

"Suspek dipercayai menyediakan perkhidmatan transit pekerja asing yang tidak sah kepada majikan, rumah didiaminya turut menempatkan lima wanita dan seorang kanak-kanak.

“Tangkapan tersebut dilakukan dalam serbuan Op Serkap bermula 10.30 malam hingga 2 pagi oleh pegawai dan anggota Unit Aduan, Risikan & Operasi Bahagian Penguat kuasa di sebuah premis di Taman Ria Jaya,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Mohd Ridzzuan berkata, suspek yang bertindak sebagai dalang ini sudah menetap di negara ini selama 35 tahun dan fasih berbahasa Melayu.

“Kita sedang menyiasat penglibatan suspek dalam rangkaian sindiket, termasuk berapa lama dia aktif menjalankan kerja pemerdagangan manusia ini," katanya.

Menurutnya, hasil serbuan pertama mendapati suspek dipercayai tinggal bersama isteri dan anaknya, serta empat lagi wanita dipercayai PATI sebelum menunggu tempoh transit kepada majikan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ridzzuan (kiri) pada sidang akhbar di Alor Setar pada Selasa.
Mohd Ridzzuan (kiri) pada sidang akhbar di Alor Setar pada Selasa.

"Serbuan kedua dilakukan di dua buah premis rumah kedai di Taman Batik yang membawa kepada penahanan 26 orang PATI, 16 daripadanya lelaki dan selebihnya wanita.

"Kesemua mereka ditempatkan dalam bangunan kosong, beralaskan kotak dan dikunci dari luar,” katanya.

Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati sebahagian daripada PATI terbabit memasuki negara ini tanpa rekod, sementara sebahagian lagi menggunakan pas lawatan sosial dan tinggal lebih masa.

"Siasatan mendapati ada yang masuk ke negara ini menggunakan beberapa pintu sempadan, dikumpulkan di Sungai Petani sebelum diagihkan kepada majikan yang perlukan tenaga kerja,” ujarnya.

Mohd Ridzzuan berkata, pemilik premis yang digunakan sebagai lokasi transit juga akan diambil tindakan.

“Tidak tahu aktiviti dalam premis yang disewakan tidak boleh dijadikan alasan untuk disewakan kepada mereka,” tegasnya.

Dalam pada itu, ketika disoal siasat, dalang tersebut mengakui kesemua PATI ditempatkan di bangunan tersebut selepas mendapat permintaan daripada majikan.

"Majikan dari Johor, hanya 20 orang sudah diambil, selebihnya akan diambil dalam masa terdekat tetapi tak sempat kami sudah ditahan.

"Makanan disediakan RM14 sekepala oleh majikan mereka. Setakat ini hanya dapat bayaran bulan pertama, selebihnya saya belum terima," katanya lagi.

Kes disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28