Malaysia dijangka beri kenyataan di ICJ 22 Februari ini

Selesai pendengaran di ICJ, delegasi Malaysia di sambut oleh demonstran yang menunggu di luar mahkamah. Foto FB Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Selesai pendengaran di ICJ, delegasi Malaysia di sambut oleh demonstran yang menunggu di luar mahkamah. Foto FB Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia dijangka memberi kenyataan lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 22 Februari ini berkaitan isu pendudukan rejim Zionis yang telah melanggar undang-undang antarabangsa berkaitan pendudukan di Palestin.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kenyataan tersebut akan dibuat sebelum ICJ membuat keputusan pada 26 Februari ini.

Menurutnya, melalui undang-undang antarabangsa sesuatu penduduk adalah bersifat sementara, namun Zionis mahukan status pendudukan itu bersifat kekal.

“Pendudukan bersifat kekal perlu mempunyai annexation (wilayah) seperti yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa, tetapi Zionis mahukan ia bersifat kekal bukan sementara. Penjajahan ini perlu dihentikan segera.

“Mereka inginkan geografi Palestin, tetapi menolak demografi termasuk sejarahnya. Ini menunjukkan kerakusan Zionis menduduki Palestin secara haram dari tahun 40-an lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Seramai sembilan orang daripada Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) dibenarkan masuk menghadiri pendengaran pendapat nasihat (advisory opinion) pada 19 Februari 2024.

Turut hadir wakil daripada Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) iaitu Muhamad Hisham Marzuki, Muhammad Hariz Md Yusoff, Danial Farhan Zainul Rijal dan Muhammad Aiman Muhammad Luthfi Amir.

Dalam pada itu, wakil I-Qanun pula ialah Mod Redza Khazali, Ramadan Al Din Azlan Khalili, Siti Nazatul Murnirah Mahadzir dan Farzanah Selamat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, ICJ di The Hague mula mengadakan pendengaran awam mengenai akibat undang-undang yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Sesi itu yang berterusan selama enam hari dari 19 hingga 26 Februari adalah berdasarkan permintaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memperoleh nasihat daripada mahkamah mengenai kesan pendudukan Israel yang berterusan selama lebih 57 tahun.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, pendengaran hujahan selama tiga jam itu menampilkan tujuh orang pembentang di hadapan 15 orang hakim.

Ujarnya, selepas mendengar hujahan, mereka disambut oleh ratusan orang ramai yang menunggu di luar mahkamah dan berterima kasih kepada Malaysia kerana sanggup berkorban untuk menyokong Palestin.

“Mereka terharu dengan delegasi Malaysia yang sanggup datang dari jauh untuk menzahirkan sokongan.

“Delegasi GSPP adalah satu-satunya badan bukan kerajaan yang dibenarkan menghadiri perbicaraan ini,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28