Murid 9 tahun sudah jadi penagih dadah

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja sekolah dan golongan belia berada pada tahap membimbangkan di mana ada murid seawal usia sembilan tahun sudah menjadi penagih dadah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, kajian mendapati remaja berusia 12 hingga 16 tahun adalah tempoh perkembangan yang signifikan peralihan risiko penyalahgunaan bahan terlarang tersebut.

"Kajian prevalens penagihan dadah dan bahan dalam kalangan belia di Malaysia pada 2022 mendapati umur permulaan mengambil dadah atau majoriti yang mengaku mengambil dadah pada usia antara 15 hingga 20 tahun.

"Namun ada responden yang mengaku telah mengambil dadah seawal umur 9 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Bersepadu Ke Arah Malaysia Bebas Dadah dan Jenayah Juvana 2023 anjuran Pertubuhan Pembasmian Jenayah Narkotik Malaysia (PJNM) pada Khamis.

Sutekno (depan, empat dari kanan) bersama peserta menunjukkan poster anti dadah sempena pelancaran Kempen Bersepadu Ke Arah Malaysia Bebas Dadah dan Jenayah Juvana 2023 anjuran PJNM pada Khamis.
Sutekno (depan, empat dari kanan) bersama peserta menunjukkan poster anti dadah sempena pelancaran Kempen Bersepadu Ke Arah Malaysia Bebas Dadah dan Jenayah Juvana 2023 anjuran PJNM pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi PJNM, Datuk Zulkifly Ibrahim dan Ahli Lembaga Penasihat PJNM, Datuk Seri Prof Dr Mohamed Mydin Mohd Musa.

Sutekno berkata, laporan statistik AADK 2022 mendapati kategori umur tertinggi yang dikesan sebagai penyalah guna dan penagih dadah adalah lingkungan 19 hingga 39 tahun.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, golongan tersebut dikategorikan sebagai belia dan mewakili 65.9 peratus atau 81,112 orang daripada keseluruhan penyalah guna serta penagih dadah yang dikesan iaitu seramai 128,325 orang.

"Usaha pencegahan berterusan perlu dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penagihan dadah daripada terus menular dalam masyarakat," katanya.

Menurut beliau, berdasarkan misi dan matlamat Dadah Terkawal 2025, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui AADK telah merancang pelbagai strategi selaras dengan Dasar Dadah Negara yang inklusif dan holistik.

"Ia bertujuan untuk memacu jentera kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) ke arah menangani permasalahan dadah di negara ini secara bersama," ujarnya.

Sutekno (lima dari kanan) bersama peserta menunjukkan poster anti dadah sempena pelancaran Kempen Bersepadu Ke Arah Malaysia Bebas Dadah dan Jenayah Juvana 2023 anjuran PJNM pada Khamis.
Sutekno (lima dari kanan) bersama peserta menunjukkan poster anti dadah sempena pelancaran Kempen Bersepadu Ke Arah Malaysia Bebas Dadah dan Jenayah Juvana 2023 anjuran PJNM pada Khamis.

Namun begitu menurutnya, pencegahan efektif yang boleh membantu usaha negara memerangi gejala dadah adalah menerusi institusi keluarga.

Jelasnya, peranan ahli keluarga bukan sahaja penting serta berkesan, malah ia satu 'pelaburan' terbaik bagi menyelamatkan nyawa dan generasi muda pemimpin negara masa depan.